22 Sept 2010

Kavyan Sedia Beri Taklimat Budaya Kaum India

KULAIJAYA - Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang mengendalikan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya sejak 1999 bersedia menganjurkan taklimat khas mengenai budaya kaum India kepada guru-guru dan pelajar pelbagai kaum yang kurang memahami budaya dan sejarah kaum berkenaan.
.

Presidennya, Uthaya Sankar SB berkata, taklimat yang dicadangkan itu sesuai ke arah mewujudkan persefahaman, perpaduan, integrasi dan semangat saling menghormati dengan semangat 1Malaysia.

.

“Misalnya, apabila timbul isu mengenai pengetua sebuah sekolah menengah di Kulaijaya yang dilaporkan membuat kenyataan yang mengguris perasaan pelajar kaum India dan Cina pada 12 Ogos lalu, Kavyan sedar bahawa apa yang berlaku adalah kes terpencil dan tidak mewakili majoriti penduduk yang memahami peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta mahu hidup aman damai di negara bertuah ini,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

.

Uthaya berkata, Kavyan mengirim surat kepada pengetua berkenaan pada 18 Ogos lalu me­ngenai cadangan mengadakan Taklimat Khas Budaya Kaum India di sekolah itu bagi membantu mengurangkan jurang pemahaman budaya antara kaum.

.

“Salinan surat itu juga dikirim kepada Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Pengarah Pelajaran Johor dan Pegawai Pelajaran Daerah Kulaijaya ke­rana Kavyan mahu memberi sumbangan ke arah mewujudkan persefahaman dalam kalangan generasi muda pelbagai kaum.

.

“Bagaimanapun, sehingga kini, kami belum menerima sebarang maklum balas daripada pe­ngetua berkenaan berhubung taklimat yang dicadangkan dan hal ini memang sedikit mengecewakan,” katanya.

..

(Disiarkan dalam akhbar Sinar Harian edisi Johor, 22 September 2010)

No comments: