7 Jun 2025

Permukiman Penulis Malaysia

Pengenalan

Rata-rata penulis di Malaysia bukan penulis sepenuh masa kerana masing-masing ada pekerjaan hakiki lain. Maka, sering timbul kekangan untuk memperuntukan masa bagi aktiviti penulisan. Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) berpengalaman mengendalikan sesi bimbingan penulisan kreatif dalam usaha menyediakan ruang yang kondusif bagi peserta (penulis) menghasilkan karya. Sesi Penulisan Intensif (SPI) dianjurkan dengan penuh jaya pada 15-16 Disember 2018, 23-24 Mac 2019, 2 Jun 2019, 10-11 Ogos 2019, dan 9-10 November 2019 [rujuk di sini]. Bengkel Penulisan Intensif (BPI) pula berjaya dikendalikan di Taiping, Perak pada 15-17 Disember 2023 [rujuk di sini], di Bandar Pinggiran Subang, Selangor pada 2-3 Mac 2024 [rujuk di sini], dan di Putrajaya pada 8-9 Jun 2024 [rujuk di sini].

 

Permukiman Penulis Malaysia

Program ini diatur bagi penulis pelbagai kaum yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia, dengan tumpuan khusus kepada penulisan cerpen. Sama ada penulis pemula, penulis baharu, penulis berpengalaman, atau penulis yang sudah lama tidak berkarya, semua dipelawa menjadi peserta. Pengisian sesi ini meneruskan model dan modul yang digunakan pada SPI dan BPI kerana terbukti benar-benar berjaya dalam memastikan peserta menghasilkan karya bermutu. Tumpuan kali ini kepada penulisan cerpen (cerita pendek) atau cereka (cerita rekaan).

 

Tarikh

Bermula – 16 Ogos 2025 (Sabtu), 3:00 petang

Tamat – 17 Ogos 2025 (Ahad), 12:00 tengah hari

Nota: Tarikh dimaklumkan lebih awal supaya penulis yang berminat (dan komited) menjadi peserta boleh membuat perancangan awal bagi memastikan tidak ada aktiviti lain pada tarikh sama. Jika peserta tidak mampu mengatur masa dan memberi komitmen bagi menyertai sesi ini, orang lain tidak boleh membantu. Bak kata pepatah Inggeris: You can lead a horse to water, but you can’t make him drink. Peribahasa Melayu: Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Malah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Where there is a will, there is a way.

 

Tempat

Sebuah rumah inap (homestay) di Shah Alam, Selangor akan ditempah khusus bagi tujuan sesi ini. Tempahan hanya dibuat apabila sudah ada enam peserta mendaftar dan membuat bayaran.

 

Peserta

Permukiman Penulis Malaysia dirangka bagi peserta dewasa (minimum 21 tahun) yang sudah ada pengalaman menulis dalam mana-mana bahasa, dan peserta remaja (17-20 tahun) yang meminati bidang penulisan cerpen tetapi belum ada pengalaman menulis. Jumlah peserta dihadkan kepada enam (6) orang sahaja supaya pembimbing (1 orang) boleh memberi tumpuan peribadi kepada setiap peserta. Keutamaan diberi kepada peserta pelbagai kaum yang mahu mendapatkan bimbingan secara intensif dan lebih mendalam dalam penulisan karya Bahasa Malaysia khususnya cerpen. Peserta perlu bersedia untuk terlibat dalam perbincangan berkumpulan dan sedia menerima komen/kritikan daripada para peserta lain.

 

Bahasa

Permukiman Penulis Malaysia dikendalikan dalam Bahasa Malaysia. Karya (cerpen, cereka) yang dihasilkan juga dalam Bahasa Malaysia. Peserta perlu mampu berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia. Peserta yang tidak mampu berkomunikasi menggunakan Bahasa Malaysia diminta tidak menjadi peserta.

 

Pengisian Permukiman Penulis Malaysia

Antara pengisian permukiman kali ini termasuk (tetapi tidak terhad kepada) sesi sumbang saran (brainstorming), penulisan draf awal, membedah karya (cerpen), baca teks, dan penyuntingan manuskrip sehingga terhasil sebuah cerpen bermutu yang layak untuk dikirim ke media penyiaran (akhbar, majalah, antologi, portal dalam talian, dan sebagainya). Tumpuan khusus bagi penulisan cerpen yang sesuai dihantar ke media konvensional dan alternatif. Peserta wajib sudah memikirkan ke media mana cerpen yang dihasilkannya nanti mahu dihantar. Jika peserta bercadang mengirim cerpen ke majalah ABC maka peserta terbabit wajib sudah biasa membaca cerpen di majalah ABC dan tahu kriteria cerpen bagi majalah itu serta cara mengirim cerpen ke majalah itu.

 

Rangka Atur Cara

Perincian dan jadual lengkap akan diberi kepada peserta berdaftar sahaja. Peserta perlu mematuhi “Waktu Kavyan”. Tentatif seperti berikut:

 

Sabtu (16 Ogos 2025)

3:00 petang – Peserta mendaftar masuk ke rumah inap (homestay)

3:30 petang – Sesi sumbang saran (brainstorming) [berkumpulan]

                    – Komen/pandangan pembimbing dan peserta

[Peserta diingatkan supaya tidak menyiapkan draf/manuskrip. Sebaliknya, bawa catatan idea sahaja untuk dibincangkan sebelum mula menulis cerpen.]

4:30 petang – Menulis draf awal cerpen [individu]

[Peserta wajib membawa dan menggunakan komputer riba untuk menaip cerpen.]

6:00 petang – Bedah karya (cerpen) [berkumpulan]

7:30 malam – Makan malam (di luar)

9:00 malam – Membaiki karya (cerpen) [individu]

10:00 malam – Bimbingan seorang ke seorang (one-to-one)

11:00 malam – Tamat sesi hari pertama

 

Ahad (17 Ogos 2025)

7:30 pagi – Sarapan (di luar)

8:30 pagi – Membaiki karya (cerpen) [berpasangan]

9:30 pagi – Membaca teks karya (cerpen) dan komen pembimbing

10:30 pagi – Membaiki karya (cerpen) [individu]

11:45 pagi – Kirim cerpen lengkap kepada pembimbing (untuk disunting)

12:00 tengah hari – Mendaftar keluar

 

Bayaran dan Kos

Setiap peserta dikenakan bayaran RM50 (Ringgit Malaysia Lima Puluh Sahaja) bagi menampung kos sewa rumah inap (homestay). Bayaran ini perlu dibuat apabila mengesahkan penyertaan. Bayaran tidak dipulangkan jika peserta menarik diri atau gagal hadir atas apa-apa pun sebab dan alasan – kerana wang itu digunakan untuk menampung sewa rumah inap. Kos makan-minum ditanggung oleh masing-masing peserta. Kos perjalanan dan sebarang kos lain juga ditanggung sendiri.

 

Barangan Keperluan

Peserta wajib membawa segala barangan keperluan untuk menulis: Komputer riba, buku tulis, alat tulis, buku/bahan rujukan, kamus, dan seumpamanya. Peserta juga perlu membawa segala barangan keperluan peribadi: Pakaian, tuala, berus gigi, ubat-ubatan, makanan ringan, botol air, pengecas telefon, extension wire, dan sebagainya. Segala barangan ini tidak disediakan. (Extension wire yang dibawa oleh pembimbing bukan untuk digunakan oleh peserta.)

 

Penginapan

Peserta perlu menginap di rumah inap (homestay) kerana sesi berlangsung hingga lewat malam. Penginapan adalah dalam konsep perkongsian; maknanya tidak boleh mengharapkan satu bilik untuk seorang peserta. Peserta lelaki tidak dibenarkan masuk ke bilik peserta wanita, dan begitu juga sebaliknya. Jika peserta memilih untuk tidak menginap, masih perlu membuat bayaran penuh, serta masih perlu akur pada jadual (atur cara). Tidak dibenarkan membawa teman, keluarga, pasangan, orang gaji, binatang peliharaan, dan sebagainya (bukan peserta) ke tempat penginapan atas apa-apa alasan sekali pun.

 

Makan-Minum

Segala kos makan-minum ditanggung sendiri. Minum petang (3-in-1) dan biskut ala kadar disediakan. Dibenarkan keluar untuk sarapan dan makan malam. Boleh membawa makanan ringan dan jajan jika mahu. Minuman beralkohol tidak dibenarkan. Merokok (termasuk vape) tidak dibenarkan di tempat penginapan.

 

Pembimbing dan Penyelaras

Uthaya Sankar SB terlibat dalam bidang penulisan secara profesional sejak tahun 1992. Beliau berpengalaman mengendalikan program galakan membaca dan bengkel penulisan di seluruh negara sejak tahun 1994. Buku terbaharunya ialah Rani di Kuil Bhagavati (2025) dan Sebelas Amanat Swamiji (2025). [Baca biodata penuh]

 

Pendaftaran Peserta

Individu yang 100% berminat dan 100% komited menyertai Permukiman Penulis Malaysia sila hubungi e-mel uthayasb@gmail.com atau WhatsApp 011-11411952 (Uthaya) untuk mendapatkan maklumat akaun bank bagi pembayaran. Yuran RM50 perlu dibuat untuk mengesahkan penyertaan. Penyertaan ditutup sebaik sudah ada enam (6) peserta.