Pengenalan
Portal Sastera Kavyan dimulakan secara
amatur pada Disember 2020 dalam usaha menggalakkan kaum India menghasilkan karya Bahasa
Malaysia. Langkah ini wajar kerana analisis kandungan majalah Dewan Siswa (Januari 1979 – Disember 2020)
menunjukkan puisi, cerpen, dan artikel oleh enam penulis kaum India sahaja mendapat tempat. Sementara itu, analisis kandungan majalah-majalah DBP (Januari 2021 – Disember 2023)
menunjukkan hanya tujuh cerpen dan lapan sajak penulis kaum India mendapat tempat di majalah-majalah berkenaan.
Dalam pada itu, lebih daripada 130 karya
seperti puisi, cerpen, rencana, ulasan, dan wawancara oleh penulis kaum India sudah
disiarkan di portal Sastera Kavyan (Disember
2020 – Disember 2023). Karya disiarkan pada hari Isnin, Rabu, dan Jumaat setiap
minggu. Uthaya Sankar SB bertindak sebagai penyunting dan
penyelaras.
Hadiah Buku Untuk Penulis Baharu
Dalam usaha
menggalakkan lebih ramai kanak-kanak (10-13 tahun), remaja (14-17 tahun), dan
belia/dewasa (layak mengundi) kaum India menghasilkan karya Bahasa Malaysia, Pertubuhan Sasterawan
Kaum India (Kavyan)
berusaha memberi hadiah (cenderamata) berupa buku kepada setiap individu yang
karyanya tersiar di portal Sastera Kavyan
pada Januari-Mac 2024. Kos
pengiriman buku kepada penulis ditanggung oleh Uthaya Sankar SB.
Jumlah Karya
Karya
disiarkan pada Isnin, Rabu, dan Jumaat setiap minggu. Maka, jumlah karya mengikut
bulan ialah Januari 2024 (14 karya), Februari 2024 (12 karya), dan Mac 2024 (12
buah). Anggaran jumlah karya ialah 38
buah. Karya ini merupakan hasil kanak-kanak, remaja, dan belia (dewasa).
Dianggarkan sekitar 13 karya penulis kanak-kanak
(10-13 tahun), sekitar 13 karya penulis remaja
(14-17 tahun), dan sekitar 13 karya penulis dewasa (layak mengundi).
Penyumbang Buku
Buku Fixi, Gemilang Publishing, dan Uthaya Sankar SB
menyumbangkan buku bagi setiap penulis yang karya mereka tersiar di portal Sastera Kavyan. Pilihan buku adalah
mengikut kesesuaian umur penulis (kanak-kanak, remaja, dewasa). Permintaan
untuk menukar judul buku tidak akan dilayan.
Penghantaran Karya
Karya Bahasa Malaysia yang dikirim untuk
penilaian wajib mematuhi syarat dan panduan yang ditetapkan [rujuk di sini]. Penilaian karya untuk
menerima hadiah buku ditutup sebaik
cukup 38 karya yang layak disiarkan.
Kiriman yang tidak mematuhi syarat dan panduan tidak akan dinilai
untuk siaran. Baca setiap syarat dan panduan dengan teliti sebelum mengirim
karya. Penyelaras (Uthaya) tidak akan
melayan dan tidak akan membalas e-mel
jika karya yang dikirim tidak mematuhi syarat dan panduan. Tiada belas kasihan!
Pengesahan Karya Asli
Semasa mengirim karya menerusi e-mel, wajib menyatakan dengan jelas bahawa
“karya yang dikirim adalah karya asli tanpa sebarang
unsur plagiat”. Kiriman tanpa menyebut pengesahan karya asli tidak
dilayan. Sesiapa yang mengirim karya tidak asli (tiru, ciplak, plagiat, dan
sebagainya) akan disenarai hitam
sepanjang hidup.
Penghantaran Buku
Kiriman buku menerusi pos akan diuruskan oleh Uthaya pada
April 2023. Untuk memudahkan urusan ini, para penulis diminta menyertakan
alamat rumah (Malaysia), nombor telefon, dan alamat e-mel semasa mengirim
karya. Jika ada perubahan alamat, wajib maklumkan selewat-lewatnya pada 31 Mac
2024.
Pertanyaan
Jika ada sebarang pertanyaan, sila baca semula segala
maklumat di atas dengan lebih teliti. Jangan
hubungi penyelaras.