25 Jan 2022

Antologi Karya Penulis Malaysia

1.0 Pengenalan

1.1 Antologi yang diselenggara oleh Uthaya Sankar SB sebelum ini berjudul Vanakam (2002), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020).

1.2 Dalam usaha memperkaya khazanah Sastera Kebangsaan dengan karya-karya bermutu yang dihasilkan penulis Malaysia, sebuah antologi karya Bahasa Malaysia sedang diusahakan.

1.3 Antologi ini disasarkan untuk terbit pada Ogos 2022.

1.4 Peluang dibuka kepada maksimum 15 individu (rakyat Malaysia) yang berminat menghasilkan cereka (cerita rekaan), cerpen (cerita pendek), atau esei (rencana, makalah, ulasan, kajian) Bahasa Malaysia.

1.5 Karya terjemahan dibenarkan hanya jika penterjemahan dilakukan oleh penulis itu sendiri.

 

2.0 Kriteria Karya

2.1 Karya mestilah karya asli (tanpa sebarang unsur yang menjadikannya tidak asli). Peserta perlu menjamin keaslian karya.

2.2 Karya baharu yang belum tersiar di mana-mana amat dialu-alukan; tetapi mestilah dibincangkan pada sesi kendalian Uthaya Sankar SB pada tahun 2022. [Maklumat sesi di sini

2.3 Manuskrip yang dihasilkan sewaktu menyertai mana-mana sesi bimbingan Uthaya Sankar SB (sebelum 2022), tetapi belum tersiar di mana-mana, boleh dikemukakan bagi antologi ini.

2.4 Karya yang sudah tersiar di akhbar, majalah, atau portal dalam talian (online) boleh dikemukakan untuk antologi ini. Akan tetapi, penulis wajib mengirim versi asal (bukan versi yang disunting oleh editor akhbar atau majalah terbabit). Sumber asal perlu dikreditkan pada hujung karya selaras Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332). Manuskrip itu juga mestilah dibincangkan pada sesi bimbingan kendalian Uthaya Sankar SB pada tahun 2022. [Maklumat sesi di sini]

2.5 Karya yang sudah termuat dalam mana-mana buku (persendirian atau antologi) tidak boleh dikemukakan bagi antologi ini.

2.6 Karya perlu menyumbang kepada usaha memperkaya khazanah Sastera Kebangsaan, sebagaimana turut diimpikan Ismail Hussein. Penulis diminta menumpukan kepada aspek budaya, permasalahan, identiti, kisah, dan tema berkaitan kaum, keturunan, etnik, subetnik, agama, anutan, dan kepercayaan sendiri.

2.7 Karya yang dimaksudkan adalah cerpen (cerita pendek), cereka (cerita rekaan), dan esei (rencana, makalah, ulasan, kajian) sahaja. Bukan puisi, atau apa-apa bentuk penulisan lain yang tidak boleh dimasukkan dalam kerangka “cerpen” atau “cereka” atau “esei”.

2.8 Karya boleh juga berdasarkan pengalaman sendiri atau kisah benar tetapi disampaikan secara kreatif dalam bentuk cerpen atau cereka. Cerita rakyat yang unik dan kurang diketahui umum boleh diceritakan semula (retelling). Esei pula berdasarkan fakta atau pengalaman/pemerhatian sendiri.

2.9 Karya yang menyelitkan unsur budaya Bukan Melayu dan Bukan Islam ada lebih banyak peluang untuk terpilih kerana karya itu nanti boleh dikaji dari aspek Sastera Kebangsaan.

2.10 Memasukkan unsur budaya dalam karya bukan bermakna menempel elemen budaya semua kaum/keturunan/etnik di Malaysia. Sebaliknya, penulis digalakkan memasukkan unsur budaya yang ada dalam kaum/keturunan/etnik sendiri.

2.11 Cerpen, cereka, dan esei bertema Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dipertimbangkan. Bagaimanapun, boleh menulis kisah yang menggunakan latar masa sewaktu pandemik itu.

2.12 Peserta perlu mengemukakan draf manuskrip sebelum 25 April 2022 untuk disemak dan dibimbing oleh penyelenggara. Sesi bimbingan dan bedah karya menerusi Google Meet juga akan diadakan secara berkala pada tahun 2022. Keutamaan kepada individu yang menyertai sesi/bengkel berkenaan. [Maklumat sesi di sini]

2.13 Jika manuskrip mempunyai terlalu banyak kesalahan (yang sepatutnya tidak berlaku), maka manuskrip akan dikirim semula kepada penulis dan diberi peluang untuk membaiki kesalahn bahasa.

2.14 Para peserta (penulis) juga boleh menjadi pembaca beta (beta reader) bagi perserta lain. (Diuruskan sesama sendiri tanpa melibatkan pembimbing.)

2.15 Peserta perlu mengirim manuskrip lengkap (manuskrip bersih) untuk penilaian dan penyuntingan akhir sebelum 31 Mei 2022.

 

3.0 Panjang Karya (Cerpen, Cereka, Esei)

3.1 Boleh mengirim 2 karya panjang: 1,200 – 1,800 perkataan sebuah.

3.2 Boleh mengirim 4 karya pendek: 600 – 900 perkataan sebuah.

3.3 Boleh mengirim 1 karya panjang (1,200 – 1,800 perkataan) + 2 karya pendek (600 – 900 perkataan sebuah).

3.4 Pilih salah satu kombinasi di atas. Kombinasi lain tidak dibenarkan.

 

4.0 Hak Cipta dan Hak Penerbitan

4.1 Hak cipta dan hak moral karya asal dipegang oleh masing-masing penulis.

4.2 Hak penyelenggaraan dipegang oleh penyelenggara.

4.3 Hak penerbitan antologi ini dipegang oleh penerbit.

4.4 Sekiranya karya dalam antologi ini mahu diterbitkan semula di mana-mana, maka wajib mencatat sumber pada hujung karya selaras Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332).

 

5.0 Pemilihan Peserta (Penulis)

5.1 Peluang dibuka kepada maksimum 15 individu yang merupakan warganegara Malaysia. Pendaftaran dibuka sehingga 31 Mac 2022.

5.2 Individu yang belum pernah menghasilkan karya juga digalakkan mengambil bahagian. Kalau bukan sekarang, bila lagi?

5.3 Peserta perlu bersedia menerima bimbingan dan kritikan daripada penyelenggara dan rakan-rakan peserta dalam usaha memastikan mutu karya. [Maklumat sesi di sini]

5.4 Individu yang mahu menarik diri perlu berbuat demikian sebelum 30 April 2022. Jika menarik diri selepas manuskrip disemak atau selepas mengikuti sesi perbincangan/bimbingan, perlu membayar kos penyuntingan.

5.5 Peserta digalakkan menggunakan nama sebenar. Nama pena hanya dibenarkan jika sudah biasa digunakan sebelum ini.

5.6 Individu yang bersetuju atau akur dengan tindakan fasis, rasis, dan subversif Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menafikan hak umat Bukan Islam menggunakan “Tuhan” (huruf besar) tidak layak menyertai mana-mana projek kendalian Uthaya Sankar SB.

 

6.0 Honorarium Penulis

6.1 Bayaran honorarium (sagu hati) adalah 10% daripada harga jualan (harga pasaran) buku berkenaan.

6.2 Daripada 10% honorarium yang dinyatakan, 3% kepada penyelenggara (Uthaya Sankar SB) manakala 7% kepada penulis.

6.3 Honorarium 7% itu akan dibahagi sama rata kepada para penulis yang karya mereka termuat dalam antologi ini.

6.4 Pembayaran honorarium akan diuruskan selewat-lewatnya dalam masa tiga (3) bulan selepas buku terbit.

7.0 Naskhah Percuma dan Harga Diskaun

7.1 Peserta/penulis tidak akan menerima naskhah percuma buku.

7.2 Peserta boleh membeli buku ini pada harga diskaun 50% daripada harga jualan (harga pasaran).

7.3 Pembelian (tempahan) oleh peserta/penulis pada harga diskaun 50% hanya sah sehingga 30 Jun 2022.

7.4 Peserta perlu menampung kos pengiriman buku mengikut kadar yang akan ditetapkan.

 

8.0 Biodata dan Foto

8.1 Penulis akan diminta mengirim biodata dan foto untuk dimuatkan dalam antologi.

8.2 Biodata dan foto mestilah profesional; bukan swafoto dari media sosial.

8.3 Biodata dan foto ini mungkin digunakan juga bagi tujuan promosi di blog dan media sosial.

8.4 Contoh biodata dan foto boleh dirujuk dalam antologi Landasan Hidup (2020), dan Peluru Aksara (2020). Boleh juga merujuk Biodata Sasterawan Kavyan sebagai contoh.

 

9.0 Sesi Perbincangan dan Bedah Karya

9.1 Sesi akan diadakan pada 26 Februari, 26 Mac, 30 April, 28 Mei, dan 25 Jun 2022 menerusi pelantar Google Meet[Maklumat sesi di sini]

9.2 Kesemua karya bagi antologi ini wajib dibincangkan semasa sesi/bengkel. [Maklumat sesi di sini]

9.3 Bayaran pengeras atau bayaran ikat libat (commitment fee) akan dikenakan bagi setiap sesi. [Maklumat sesi di sini]

9.4 Bimbingan tidak akan diberi di luar waktu sesi.

 

10.0 Pertanyaan dan Pendaftaran

10.1 Jika ada sebarang pertanyaan, atau jika mahu mendaftar nama untuk menyertai projek penerbitan antologi ini, sila hubungi Uthaya Sankar SB (011–11411952).

10.2 Maklumat awal yang wajib diberi untuk mendaftar sebagai peserta adalah Nama Penuh, Alamat Lengkap, Nombor Telefon, dan Alamat E-mel.

10.3 Pendaftaran peserta ditutup pada 31 Mac 2022.