24 Feb 2016

Hari Keluarga Kavyan

Pengenalan
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada 22 Ogos 1999 bergerak seperti sebuah keluarga besar dalam menjayakan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya. Acara Hari Keluarga Kavyan pernah diadakan pada 28 Mac 2010 di Taman Tasik Shah Alam, dan pada 31 Ogos 2015 di Bukit Rimau, Shah Alam. Hari Keluarga Kavyan dirancang sebagai salah satu sesi pertemuan santai untuk mengeratkan silatulrahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum yang prihatin terhadap Kavyan.

Tarikh
10 April 2016 (Ahad)

Masa
9:00 pagi – 2:00 petang

Penganjur
Pusat Kebudayaan India (ICC), Brickfields

Tempat
Dewan Netaji Subhash Chandra Bose, Pusat Kebudayaan India (ICC), Tingkat 17, Sentral Vista, Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields, Kuala Lumpur – Terletak tidak jauh dari KL Sentral, NU Sentral, Stesen Monorel Tun Sambanthan dan Kompleks MAB Brickfields. [LIHAT PETA]

Objektif
1. Sesi pertemuan santai melibatkan sesiapa sahaja yang prihatin terhadap aktiviti Kavyan
2. Usaha mengeratkan silatulrahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama
3. Peluang mengenali Kavyan dan ICC secara lebih dekat
4. Menjamu selera menggunakan konsep “juadah bawaan” (potluck)
5. Perbincangan santai mengenai usaha merancakkan kerjasama aktiviti Kavyan dan Pusat Kebudayaan India
6. Peluang untuk mengenali kerjaya dan usaha-usaha yang dilakukan setiap hadirin dalam bidang bahasa, sastera, kebajikan, sosial, seni atau budaya
7. Peluang menunjukkan bakat hadirin (kanak-kanak, remaja, belia dan dewasa) dalam bidang sastera, seni dan budaya

Peserta
Penyertaan Hari Keluarga Kavyan terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk berkumpul secara aman bagi menjayakan objektif di atas. Memandangkan ini adalah “hari keluarga”, maka hadirin diminta membawa bersama ahli keluarga. Tiada had umur. Orang bujang boleh datang secara sendirian atau membawa ahli keluarga (ibu bapa atau adik-beradik). Hadirin tidak dibenarkan membawa pasangan kekasih.

Aktiviti dan Pengisian
Bagi menjayakan dan mencapai objektif seperti di atas, beberapa aktiviti santai yang sesuai boleh diatur secara spontan. Misalnya, permainan tradisional, kuiz, menceritakan pengalaman, cabutan bertuah, bakat menyanyi, bakat menari dan bercerita. Para hadirin diingatkan supaya tidak menjadikan sesi pertemuan ini sebagai sesi ceramah atau syarahan panjang atau tempat mempromosikan perniagaan (MLM atau insurans); sebaliknya berilah peluang kepada semua orang untuk bercakap. Pihak Pusat Kebudayaan India (ICC) dijangka mengatur persembahan tarian kathak, nyanyian karnatik dan demonstrasi yoga oleh pakar bidang.

Rangka Atur Cara
Tentatif atur cara adalah seperti berikut. Mungkin ada perubahan mengikut situasi. Harap maklum bahawa hadirin bebas datang dan pulang pada bila-bila masa. Bagaimanapun, hadirin amat digalakkan menyertai acara sepenuhnya. Cenderamata (jika ada) hanya akan diberi kepada sejumlah hadirin yang datang awal.

9:00 pagi
Ketibaan hadirin dan pendaftaran
Saling berkenalan secara santai
Menikmati juadah bawaan
Pendaftaran persembahan oleh hadirin
(Pendaftaran persembahan ditutup 10:00 pagi)
(Pendaftaran cabutan bertuah ditutup 10:00 pagi)
Penyelaras: Dhineswary dan Thanusya 

10:00 pagi
Demonstrasi yoga (pernafasan) oleh guru yoga ICC (10 minit)
Hadirin memperkenalkan diri
Saling berkenalan secara santai
Menikmati juadah bawaan
Cabutan bertuah
Pengacara: Prabha 

11:00 pagi
Persembahan nyanyian karnatik oleh guru nyanyian ICC (10 minit)
Persembahan oleh hadirin (perlu mendaftar)
Menikmati juadah bawaan
Cabutan bertuah
Pengacara: Ezhilarasi 

12:00 tengah hari
Persembahan tarian kathak oleh guru tari ICC (10 minit)
Permainan tradisional
Penyelaras: Krishnu, Harveen, Devishi dan Kuhan

1:00 petang
Ucapan Encik YL Rao, Pengarah ICC
Cenderamata kepada Pengarah ICC
Foto Berkumpulan
Menghabiskan juadah bawaan
Bersurai

Juadah Bawaan (Potluck)
Hari Keluarga Kavyan dibuat dalam bentuk potluck di mana hadirin membawa “juadah bawaan” untuk dikongsi bersama-sama orang lain. Harap maklum bahawa hadirin tidak perlu membeli makanan khas atau memasak makanan khas untuk dibawa ke majlis ini. Sebaliknya, potluck merujuk kepada lebihan makanan dan minuman yang sedia ada di rumah masing-masing. Maka, bawalah apa sahaja makanan dan minuman yang berbaki di rumah untuk dikongsi bersama-sama para hadirin. Sila ambil kira sensitiviti kaum dan agama dalam memutuskan makanan dan minuman yang sesuai dibawa. Sekiranya mahu membeli sebarang makanan atau minuman (misalnya keropok atau minuman botol), beli dalam jumlah yang sedikit; mungkin untuk 4 orang sahaja. Konsep potluck merujuk kepada keadaan di mana makanan lebihan dibawa dalam jumlah yang sedikit oleh ramai orang untuk dikongsi bersama. Ini bukan majlis jamuan makan, tetapi sesi berkongsi makanan sambil berbual-bual serta terlibat dalam aktiviti berdasarkan objektif di atas.

Sensitiviti Kaum, Agama dan Politik
Semua yang hadir diingatkan supaya menghormati sensitiviti kaum, etnik, politik dan agama. Majlis Hari Keluarga Kavyan bukan tempat untuk membahaskan perkembangan politik; melakukan serangan (kritikan) terhadap mana-mana kaum dan agama; mahupun tempat untuk melakukan dakwah agama atau propaganda politik. Sila berpegang kepada objektif pertemuan seperti yang sudah dinyatakan di atas.

Pakaian
Para hadirin diminta berpakaian sopan apabila menghadiri sebarang aktiviti anjuran Kavyan. Bagi acara Hari Keluarga Kavyan, mungkin ada aktiviti seperti permainan tradisional dan yoga. Maka, hadirin diminta memakai pakaian yang sesuai. Pakaian tradisional amat digalakkan.

Pertanyaan
Jika ada sebarang pertanyaan, sila hubungi e-mel infokavyan@yahoo.com.my atau kirim mesej menerusi Facebook. Sebarang pertanyaan menerusi SMS tidak dilayan. Jika anda tersesat jalan pada hari acara –walaupun sudah diberikan pelbagai panduan dan peta – sila gunakan Waze.

Penutup
Semoga acara Hari Keluarga Kavyan mencapai objektif yang diimpikan berkat kerjasama padu semua pihak yang terlibat. Pertemuan ini juga diharap mengeratkan silatulrahim antara masyarakat pelbagai kaum dan agama, serta mencetuskan idea bagi lebih banyak aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya.