17 Apr 2011

Kenyataan Media: Bahasa Malaysia

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) terkejut dengan jawapan yang diberikan Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran Malaysia di portal rasmi kementerian berkenaan [BACA DI SINI] berhubung laporan berita di akhbar Makkal Osai (31 Mac 2011).

Dalam jawapan itu, dinyatakan bahawa “Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka disusun berasaskan perkataan-perkataan yang digunakan oleh pengguna bahasa Melayu [sic], termasuklah perkataan-perkataan yang bersumberkan bahasa-bahasa lain seperti bahasa sukuan atau etnik, bahasa Inggeris, China [sic], Sanskrit, Tamil, Belanda, Arab dan sebagainya”.


Kementerian Pelajaran Malaysia tentu sahaja sedia maklum bahawa “pengguna” Bahasa Malaysia tidak hanya terdiri daripada kaum tertentu; sebaliknya masyarakat pelbagai kaum di negara ini.


Maka, huraian lanjut oleh Unit Komunikasi Korporat kementerian berkenaan berhubung isu sama amat mengecewakan:


“Sehubungan dengan perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu [sic] yang terdapat dalam kamus-kamus bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, ia hendaklah dilihat dari kaca mata bangsa Melayu, dan bukan dari kaca mata bangsa lain. ... Setiap bangsa [sic] di Malaysia mesti menerima hakikat bahawa kamus bahasa Melayu mencerminkan bahasa, adat dan budaya Melayu.”


Kavyan tidak mahu masuk campur dalam soal apakah perkataan-perkataan yang dikatakan “menyinggung perasaan masyarakat India” dalam isu di atas.


Perkara yang membuatkan kredibiliti pihak terbabit boleh dipersoalkan adalah bentuk jawapan yang diberikan. Terbukti menggambarkan “kejahilan” yang sekali gus memusnahkan harapan membina Bangsa Malaysia dengan menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan, bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, agama, latar belakang, adat, budaya dan agama.


Jawapan yang diberikan ternyata cuba menafikan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik seluruh Bangsa Malaysia. Sebaliknya, “memaksa” orang lain melihat serta menganggap Bahasa Malaysia (bahasa Melayu) sebagai milik kaum tertentu sahaja.


Jawapan dan pendirian seperti ini yang mewakili Kerajaan Malaysia pasti menggagalkan usaha murni mengangkat martabat dan maruah Bahasa Malaysia, serta usaha membina Bangsa Malaysia.


Kavyan yang terdiri daripada kumpulan penulis kaum India yang berkarya menggunakan Bahasa Malaysia; serta mengendalikan aktiviti sastera, seni dan budaya menggunakan Bahasa Malaysia mempunyai alasan untuk berasa amat kecewa dengan pendirian dan bentuk jawapan yang diberikan oleh Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran Malaysia.


Kementerian sepatutnya mengambil langkah “merakyatkan” Bahasa Malaysia dan bukannya “menyempitkan” bahasa kebangsaan kepada kaum tertentu. Apatah lagi dalam usaha menggalakkan generasi muda pelbagai kaum menggunakan Bahasa Malaysia dalam kehidupan seharian.


Begitu juga dengan hasrat Kerajaan Malaysia menggalakkan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan (SK).


Sekiranya tiada langkah segera diambil bagi membetulkan kenyataan mengelirukan yang dikeluarkan menerusi portal rasmi kementerian berkenaan, nescaya akan menyempitkan kedudukan Bahasa Malaysia semata-mata sebagai bahasa milik hakiki kaum tertentu.


Dalam pada itu, Kavyan yang diasaskan pada Ogos 1999 akan terus mengangkat Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik seluruh Bangsa Malaysia.

NOTA: Kenyataan media ini dipetik oleh G. Manimaran untuk menulis berita di The Malaysian Insider. Sila KLIK DI SINI untuk berita versi Bahasa Malaysia dan KLIK DI SINI untuk berita versi Bahasa Inggeris. Gapena dan Pena turut memberikan reaksi. Sila KLIK DI SINI untuk reaksi versi Bahasa Malaysia dan KLIK DI SINI untuk reaksi versi Bahasa Inggeris. Cadangan supaya Uthaya Sankar SB ditahan di bawah ISA pula boleh dibaca DI SINI.