13 Jun 2015

Pemilihan Jawatankuasa Kavyan

Rebutlah peluang ini dan jadilah sebahagian daripada Keluarga Kavyan!

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sedang dalam proses pemilihan jawatankuasa yang bertanggungjawab meneraju proses perancangan dan pengendalian pelbagai aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya di seluruh negara – RUJUK CONTOH AKTIVITI DI SINI.

Kavyan yang diasaskan pada 22 Ogos 1999 – BACA SEJARAH DI SINI – telah membuat keputusan pada 6 November 2011 untuk turut membuka keahlian kepada individu Bukan Kaum India – BACA KEPUTUSAN DI SINI. Mulai 2013, individu Bukan Kaum India juga layak memegang jawatan dalam Kavyan – RUJUK SENARAI DI SINI.

Kini, permohonan dibuka kepada individu yang layak bagi memegang jawatan seperti berikut mulai September 2015:

1 – Jawatankuasa Utama [Tarikh Tutup: 15 Ogos 2015]

Jawatan presiden, timbalan presiden, setiausaha, penolong setiausaha, bendahari dan penolong bendahari dikhususkan kepada individu kaum India tanpa mengira agama. Umur minimum adalah 30 tahun. Keutamaan kepada individu yang terlibat secara aktif dalam menjayakan mana-mana aktiviti Kavyan sejak setahun lalu. AJK Utama wajib menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan yang diadakan pada Mac, Jun, September dan Disember. Perbincangan AJK akan turut dibuat menggunakan media sosial. AJK Utama perlu merancang dan melaksanakan sekurang-kurangnya satu aktiviti dalam masa setahun. AJK Utama yang tidak aktif selama enam bulan akan dianggap melepaskan jawatan secara automatik. Individu yang terlalu sibuk dan suka memberikan alasan “Tak ada masa” dinasihatkan tidak memohon.

2 – Jawatankuasa Khas [Tarikh Tutup: 15 Ogos 2015]

Jawatan AJK Khas terbuka kepada maksimum lima individu – tanpa mengira kaum dan agama – yang terlibat secara aktif dalam menjayakan mana-mana aktiviti Kavyan sejak setahun lalu. Umur minimum adalah 20 tahun. AJK Khas tidak diwajibkan (tetapi digalakkan) menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan yang diadakan pada Mac, Jun, September dan Disember. Perbincangan AJK akan turut dibuat menggunakan media sosial. AJK Khas perlu terlibat membantu AJK Utama melaksanakan sekurang-kurangnya satu aktiviti dalam masa setahun. AJK Khas yang tidak aktif selama enam bulan akan dianggap melepaskan jawatan secara automatik. Individu yang terlalu sibuk dan suka memberikan alasan “Tak ada masa” dinasihatkan tidak memohon.

3 – Sukarelawan Kavyan [Tarikh Tutup: 20 September 2015]

Jawatan ini dibuka kepada maksimum 15 individu – tanpa mengira kaum dan agama – yang berminat untuk terlibat membantu menjayakan aktiviti Kavyan. Umur minimum adalah 16 tahun. Sukarelawan tidak perlu menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kavyan. Perbincangan akan turut dibuat menggunakan media sosial. Sukarelawan perlu terlibat membantu AJK Utama dan AJK Khas melaksanakan sekurang-kurangnya satu aktiviti dalam masa setahun; mengikut bidang, minat atau kepakaran yang dimiliki. Sukarelawan yang tidak aktif selama enam bulan akan dianggap melepaskan jawatan secara automatik. Individu yang terlalu sibuk dan suka memberikan alasan “Tak ada masa” dinasihatkan tidak memohon.

Mesyuarat Pemilihan

Pemilihan Jawatankuasa Kavyan akan dibuat pada 20 September 2015 (Ahad). Individu yang berminat perlu mengemukakan permohonan secara dalam talian (online) sebelum tarikh tutup yang dinyatakan. Calon AJK yang layak akan melalui proses pengundian secara demokratik pada Mesyuarat Pemilihan Jawatankuasa Kavyan. Calon juga boleh berkempen selama sebulan bagi mendapatkan sokongan daripada para pengundi. Tiada pengundian bagi Sukarelawan Kavyan.

Borang Permohonan

Setiap pemohon wajib mengisi BORANG PERMOHONAN DALAM TALIAN dengan lengkap. Setiap individu boleh memohon untuk bertanding bagi beberapa jawatan, tetapi hanya layak memegang satu jawatan. Borang yang diterima selepas tarikh tutup permohonan tidak akan dipertimbangkan. Calon yang layak bertanding bagi Jawatankuasa Utama dan Jawatankuasa Khas akan dimaklumkan selewat-lewatnya pada 20 Ogos 2015. Individu yang tidak layak juga akan dimaklumkan sebelum 20 Ogos 2015. Calon yang layak boleh berkempen selama sebulan bagi mendapatkan sokongan pengundi.

Maklumat Lanjut dan Pertanyaan

Sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my sebelum 15 Ogos 2015. Pertanyaan menerusi SMS tidak akan dilayan.