29 May 2015

Pak Samad dan Datuk Ambiga di Forum Kavyan



Sasterawan Negara dan pejuang bahasa, Datuk A. Samad Said (Pak Samad), serta peguam dan aktivis sosial, Datuk Ambiga Sreenevasan, akan menjadi panel dalam sebuah forum khas anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) bertempat di Rumah Kavyan, Taman Sri Muda, Shah Alam pada 14 Jun 2015 (Ahad), 9:00 – 11:00 pagi.

[Sarapan bermula 8:30 pagi. Jualan buku juga diadakan.]
   
Forum akan dikendalikan dalam Bahasa Malaysia serta terbuka kepada umum. Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB menjadi pemudah cara (moderator).

Tarikh: 14 Jun 2015 (Ahad)
Masa: 9.00 – 11.00 pagi [Waktu Kavyan]
Tempat: Rumah Kavyan, Taman Sri Muda, Shah Alam
Panel: SN Datuk A. Samad Said & Datuk Ambiga Sreenevasan
Moderator: Uthaya Sankar SB

Pak Samad akan memperkatakan topik “Mengapa Saya Perjuangkan Bahasa Melayu?” manakala topik “Mengapa Saya Mahu Menguasai Bahasa Malaysia?” akan diperkatakan oleh Datuk Ambiga. Kedua-dua tokoh akan berkongsi pandangan berdasarkan pengalaman sendiri.

Pak Samad merupakan Penasihat Agung Kavyan sejak 2003, serta “sasterawan rakyat” yang dikagumi masyarakat pelbagai kaum, agama, umur dan latar belakang. Beliau lantang mengkritik pemerintah dan kuasawan menerusi karya dan ceramah.

Datuk Ambiga pula mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi International Women of Courage Award (2009) dan Chevalier de Lagion d’Honneur (2011). Pejuang hak kemanusiaan ini pernah menjadi pengerusi Bersih bersama-sama Pak Samad.

Sebelum forum bermula, Pak Samad dijadual merasmikan Rumah Kavyan yang menjadi pusat aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya. Rumah Kavyan turut menempatkan perpustakaan mini yang terbuka kepada umum; seperti turut dilaporkan di SelangorKini (29 Mei 2015).

Kavyan diasaskan pada 22 Ogos 1999. Walaupun diterajui kelompok penulis kaum India, kesemua aktiviti Kavyan terbuka kepada peserta pelbagai kaum.

Kavyan turut menjalankan aktiviti galakan membaca dan bengkel penulisan di seluruh negara dalam usaha memasyarakatkan sastera dan memartabatkan Bahasa Malaysia.

Tempat duduk adalah terhad. Sila ISI BORANG DI SINI untuk mengesahkan kehadiran anda.