PETALING JAYA: Novelis paling
berjaya dan paling kontroversi sejak sedekad lalu, Faisal Tehrani memutuskan
untuk menjadi Ahli Kehormat dalam Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).
Penerima Anugerah Seni Negara
(2006) itu sekali gus menjadi individu “Bukan Kaum India” sulung menganggotai
Kavyan.
Kavyan yang diasaskan pada 22
Ogos 1999 membuka keahlian kepada umum berikutan keputusan sebulat suara yang
dicapai dalam Mesyuarat Tahunan pada 6 November 2011. [BACA DI SINI]
Keputusan Faisal – atau nama
sebenarnya Mohd Faizal bin Musa – dijangka menimbulkan kontroversi dalam
kalangan pihak tertentu yang sebelum ini dipercayai cuba memulaukan segala aktiviti
Kavyan.
“Ada puak tertentu yang
menghubungi beberapa penerbit dan menyebarkan fitnah dalam usaha menghalang
penyiaran karya-karya oleh ahli Kavyan sejak awal tahun ini,” kata Presiden
Kavyan, Uthaya Sankar SB. [BACA DI SINI]
Katanya, kempen dilakukan
pihak tertentu untuk melabel Kavyan sebagai “anti-Melayu” dan “anti-Islam”
berikutan kelantangan kumpulan penulis itu bersuara dalam kontroversi novel Interlok Edisi Murid dan isu royalti teks Komsas.
Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said adalah Penasihat
Agung Kavyan sejak 2003. Allahyarham Dr
Othman Puteh dan Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan pula pernah menjadi Penasihat Kehormat Kavyan. [BACA DI SINI]
Faisal yang terkenal menerusi
karya-karya seperti Perempuan Anggerik
(2002), Bedar Sukma Bisu (2007), Manikam Kalbu (2007), Tuhan Manusia (2007) dan Tiga Kali Seminggu (2010) mengemukakan
borang keahlian Kavyan pada 25 Jun 2012.
Baru-baru ini, novel Sebongkah Batu di Kuala Berang (2011)
diharamkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana unsur – unsur
Syiah manakala terdapat ura-ura bahawa novel Perempuan Nan Bercinta (2012) juga
sedang diusahakan supaya diharamkan.
Faisal bakal menghadiri acara
“Baca Cerpen Pelbagai Bahasa” di Pusat
Konvensyen Shah Alam (SACC) pada hari Jumaat ini jam 4:00 petang dan akan
mengadakan sidang media selepas itu untuk menjelaskan mengenai keputusannya
menyertai Kavyan.
(Ditulis oleh K. Pragalath
dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 2 Julai 2012)