11 Feb 2011

Panel Bebas Pemurnian Interlok Edisi Murid

SHAH ALAM – Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berharap panel yang benar-benar layak dan berkaliber dilantik menyertai panel bebas yang akan diwujudkan untuk mengkaji bentuk pemurnian yang sesuai bagi menyelesaikan kontroversi novel Interlok edisi murid (DBP: 2010).
.
Setiausahanya, Prabhawathy Govindarajoo berkata, semasa Wacana Interlok di Rumah Universiti, Universiti Malaya (UM) pada 26 Januari 2011, wakil Gapena dilaporkan membuat kenyataan bahawa wakil MIC yang menyertai sesi perbincangan panel di Putrajaya pada 18 Januari 2011 “tidak dapat mematahkan hujah-hujah yang Gapena kemukakan”.
.
“Kavyan berharap wakil kaum India yang bakal dilantik oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menganggotai Panel Bebas Pemurnian Interlok Edisi Murid terdiri daripada pakar sastera, sejarah dan budaya kaum India yang mampu melaksanakan tugas itu secara tuntas dan profesional.
.
Malaysia tidak kekurangan pakar sastera kebangsaan dan budaya dalam kalangan kaum India; maka rugi jika khidmat mereka tidak dimanfaatkan ke arah memperkasa sastera dan pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan media pada 11 Februari 2011.
.
Antara tokoh yang disarankan oleh Kavyan ialah dua pensyarah dari Jabatan Pengajian India UM iaitu Dr Rajantheran Muniandy dan Dr Krishanan Maniam, serta Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB kerana mereka dianggap individu yang sangat layak menganggotai panel berkenaan.
.
“Kavyan juga berpendirian tegas bahawa sekiranya novel Interlok edisi murid gagal dimurnikan atas apa-apa sebab sekali pun, maka lebih baik ia tidak dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas),” katanya. [SENARAI ANGGOTA PANEL] [KOLEKSI MAKALAH BERKAITAN]

No comments: