Thursday, 11 March 2010

Cereka UPSR

Kumpulan Sasterawan Kavyan menganjurkan Bengkel Penulisan Cereka UPSR sebagai usaha memberi bimbingan kepada murid Tahun 4, 5 dan 6 mengenai teknik menghasilkan karangan berbentuk cereka atau cerita rekaan.
..

Penolong Setiausaha Kavyan, Hemantha Kumar Nagappan berkata, bengkel terkini akan diadakan dengan kerjasama majalah e-baca pada Sabtu, 13 Mac 2010, pukul 8:30 pagi di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang North Hummock, Setia Alam, Shah Alam.

..

“Kavyan memulakan Bengkel Penulisan Cereka UPSR dan Penghayatan Sastera Kanak-kanak di seluruh negara pada 2004 untuk memberi pendedahan awal kepada murid sekolah rendah mengenai penulisan karya Bahasa Malaysia,” katanya dalam suatu kenyataan media yang dikeluarkan di Shah Alam, hari ini.

..

Menurut Kumar, bengkel yang dikendalikan bukan berorientasikan peperiksaan, sebaliknya membantu peserta memahami cara menghasilkan karangan tidak berformat yang memenuhi ciri-ciri cereka bermutu.

..

Peserta akan dibimbing Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang pendidikan dan penulisan kreatif Bahasa Malaysia.

..

“Tumpuan khusus diberikan kepada penulisan karangan berbentuk autobiografi, biografi, menyambung cerita, peribahasa dan cereka peringkat UPSR.

..

Para peserta juga berpeluang mengetahui dan memahami ciri-ciri cereka bermutu serta cara menghasilkan cereka yang baik,” kata Kumar.

..

Objektif penganjuran Bengkel Penulisan Cereka UPSR adalah untuk mencungkil bakat penulisan cereka dalam kalangan kanak-kanak supaya mereka boleh meneruskan bakat dan minat ke arah menghasilkan cerpen bermutu pada masa hadapan.

..

Pengacara majlis bagi acara pada 13 Mac 2010 ialah murid Tahun Dua, SK Taman Sri Muda (2), Shah Alam, Devishi Prabha Sankari.

..

Kavyan juga berusaha memupuk minat membaca dalam kalangan kanak-kanak dan remaja pelbagai kaum melalui aktiviti Jom Bergaya Dengan Buku yang dilancarkan pada Julai 2009.

..

[Sila KLIK DI SINI untuk membaca laporan aktiviti yang disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 14 Mac 2010.]

..

Maklumat mutakhir aktiviti Kavyan di www.kavyan.blogspot.com atau hubungi e-mel infokavyan@yahoo.com.my

No comments: