Friday, 18 September 2009

Anugerah SEA Write untuk Azmah Nordin

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku Sekretariat Tetap Anugerah “S.E.A. Write Awards” bagi negara Malaysia melalui jawatankuasa yang telah dilantik, iaitu Jawatankuasa Pemilihan S.E.A. Write Awards bagi tahun 2009 telah sebulat suara mencalonkan Azmah Nordin sebagai calon penerima anugerah S.E.A. Write Awards Tahun 2009 bagi negara Malaysia.

Pencalonan tersebut telah mendapat pengesahan daripada Sekretariat S.E.A. Write Awards di Bangkok, Thailand pada 9 September 2009. Dengan ini, DBP secara rasminya mengumumkan Azmah Nordin sebagai penerima anugerah “S.E.A Write Awards” tahun 2009 bagi negara Malaysia dan juga merupakan penerima anugerah yang ke-31 sejak anugerah tersebut diwujudkan pada tahun 1979.

Pegawai Komunikasi Korporat, Bahagian Komunikasi Korporat DBP, Puan Nor Hamuni Ibrahim @ Md Yasin dalam e-mel kepada pihak Kavyan pada 18 September 2009 berkata, Minggu S.E.A. Write Awards 2009 akan diadakan pada 4–10 Oktober 2009.

Azmah Nodin akan menerima anugerah tersebut semasa acara kemuncak, iaitu pada Malam Gala dan Majlis Penganugerahan Anugerah pada 9 Oktober 2009, di Oriental Hotel’s Royal Ballroom, Bangkok, Thailand.

Anugerah tersebut akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn dan Duli Yang Maha Mulia Puteri Srirasm.

AZMAH NORDIN dilahirkan di Kulim, Kedah Darul Aman pada 10 Januari 1958. Kini, beliau bermastautin di Sabah semenjak tahun 1973. Pada tahun 1985 Azmah Nordin mula melibatkan diri dalam dunia penulisan dan giat menghasilkan karya-karya dalam genre cerpen dan novel termasuklah novel kanak-kanak, remaja dan dewasa. Sehingga hari ini, beliau telah banyak menghasilkan karya.

Kavyan mengucapkan tahniah kepada Azmah Nordin!

Sila KLIK DI SINI untuk membaca senarai karya beliau.

No comments: