30 Dec 2024

Temasya Bahasa di Persatuan Kebajikan Sri Sakthi Ashram

Program Temasya Bahasa dianjurkan di Persatuan Kebajikan Sri Sakthi Ashram, Jalan Bekoh, Tangkak, Johor oleh Persatuan Memperkasakan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor dengan kerjasama Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) pada 29 Disember 2024.

Terdapat 21 kanak-kanak dan remaja lelaki kaum India di ashram tersebut dan masing-masing teruja menerima hadiah buku cerita seperti Nari! Nari! (2024), Ikan Patin dan Beruang Besar (2024), dan Seruling Malam (2024).

Puan Ruthira Surasan selaku pengerusi Persatuan Memperkasakan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor menjelaskan, aktiviti sulung persatuan itu dikendalikan di ashram berkenaan kerana menyedari kanak-kanak dan remaja di sana kurang berpeluang terlibat dalam aktiviti bahasa dan pembacaan dalam Bahasa Malaysia.

Peserta berkongsi tentang jenis bahan bacaan yang digemari. Masing-masing turut membaca petikan cerita dalam buku yang diterima sebagai hadiah. Rata-rata mampu membaca dengan lancar serta memahami kandungan cerita.

Pengasas Kavyan, Uthaya Sankar SB menjawab pertanyaan peserta dengan menceritakan bagaimana beliau mula meminati bidang penulisan [baca di sini]. Ruthira Surasan pula mengingatkan kanak-kanak dan remaja terbabit betapa penting penguasaan komunikasi Bahasa Malaysia dari aspek penulisan, pembacaan, dan pertuturan.

Program yang dikendalikan secara santai dan dua hala ini memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak, iaitu penganjur dan peserta. Para peserta mendapat peluang menonjolkan bakat yang mungkin tidak berpeluang diketengahkan di mana-mana selama ini.

Di pihak Persatuan Memperkasakan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor pula, program ini pasti membantu usaha merancang dan melaksanakan lebih banyak program membaca dan memartabatkan bahasa kebangsaan bagi kanak-kanak dam remaja kaum India, khususnya di Selangor pada tahun 2025.

Menurut Ruthira Surasan, program susulan juga dirancang di ashram ini dengan melibatkan lebih ramai kanak-kanak dan remaja di sekitar Tangkak sebagai peserta. [Foto di sini]