Program
Sesi Penulisan Intensif III
Sasterawan Kavyan
Tarikh
2 Jun 2019 (Ahad)
Masa
10:00 pagi – 6:00 petang [Waktu Kavyan]
Tempat
Ruang Aktiviti (Tingkat Atas)
10 Jalan Setia Gemilang BM U13/BM
Setia Alam, Shah Alam, Selangor
Panduan Waze
Econsave Setia Taipan
Penganjur
Kumpulan Sasterawan Kavyan
(Kavyan)
Perunding Media, Motivasi dan
Penerbitan Uthaya
Pengenalan
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sentiasa berusaha membimbing
dan melahirkan penulis baharu pelbagai kaum, dengan tumpuan khusus kepada
golongan penulis kaum India. Istilah “Sasterawan Kavyan” yang digunakan sejak
tahun 2004 merujuk kepada penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia. Jumlah Sasterawan Kavyan tidak
ramai dan usaha drastik perlu diambil segera bagi melahirkan lebih ramai
penulis kelompok ini; termasuk penulis remaja.
Rasional
Penganjuran Sesi Penulisan Intensif Sasterawan Kavyan
pada 15 – 16 Disember 2018 di Shah Alam dengan kerjasama Bahagian Pengembangan
Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuktikan
kejayaan di mana para peserta menghasilkan manuskrip yang dibengkelkan,
dibedah, dibincang dan disunting sebelum terus dikirim kepada editor
majalah-majalah DBP; khususnya Dewan
Budaya, Tunas Cipta, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Dewan
Masyarakat dan Dewan Sastera. Sesi Penulisan Intensif II Sasterawan Kavyan
berlangsung pada 23 – 24 Mac 2019 dengan dengan kerjasama Bahagian
Pembinaan Bakat dan Kepakaran DBP. Sepuluh peserta menghasilkan karya yang
dibengkelkan, dibedah, dibaiki, disunting dan terus dikirim kepada editor
majalah-majalah DBP untuk dipertimbangkan bagi siaran.
Objektif
● Memberi pendedahan dan panduan lengkap mengenai
format, syarat dan teknik penulisan puisi, cerpen dan rencana bagi
majalah-majalah DBP.
● Memberi peluang Sasterawan Kavyan dan penulis remaja
berbincang, mengadakan sesi sumbang saran, perkongsian idea, bedah karya dan
semakan manuskrip secara berkumpulan mengikut konsep “rakan sebaya”.
● Memastikan setiap peserta menghasilkan
sekurang-kurangnya sebuah karya pada akhir sesi.
● Menyalurkan karya bermutu ke majalah-majalah DBP.
● Memperkaya Sastera Kebangsaan menerusi karya Sasterawan
Kavyan.
Keunikan
Para peserta (dewasa dan
remaja) akan terlibat bersama-sama dalam perbincangan, perkongsian pengalaman,
sumbang saran (brainstorming),
penulisan, bedah karya, semakan manuskrip dan sebagainya menggunakan konsep “rakan
sebaya”. Kerjasama dalam bentuk mentor menti (mentor mentee) boleh diteruskan dalam kalangan peserta yang berminat.
[Baca — Komen Peserta Sesi I] — [Komen Peserta Sesi II] — [Pengalaman Peserta Menyunting Karya]
Pembimbing
Uthaya Sankar SB
berpengalaman menulis untuk majalah-majalah DBP sejak 1992, mengendalikan
bengkel penulisan di seluruh negara sejak 1994, mengasaskan Kavyan pada 1999,
dan menerbitkan buku sejak 2002. Beliau juga merancang, melaksanakan serta
membimbing peserta Sesi Penulisan Intensif Sasterawan Kavyan
(15 – 16 Disember 2018) dan Sesi Penulisan Intensif II Sasterawan Kavyan
(23 – 24 Mac 2019).
Peserta
Jumlah peserta bagi bengkel
sehari ini adalah sepuluh (10) orang sahaja, iaitu:
Sekitar
lima (5) peserta adalah Sasterawan Kavyan yang sudah ada
pengalaman menulis dan sudah ada karya tersiar di akhbar/majalah.
Sekitar
lima (5)
peserta adalah golongan remaja (16 – 24 tahun) yang belum ada karya
tersiar di akhbar/majalah tetapi berminat menjadi penulis.
Individu yang memohon menjadi
peserta mestilah
berminat untuk menghasilkan karya secara prolifik
dan konsisten; khususnya untuk
disalurkan ke majalah-majalah terbitan DBP. Bukannya individu yang sekadar mahu
mengisi masa lapang, atau sekadar mahu cuba menulis sebuah karya sepanjang
hayat, atau kerana dipaksa/dipujuk/dirayu oleh ibu, bapa, penjaga, nenek, datuk,
kekasih, bekas kekasih, saudara mara, rakan, jiran dan sebagainya.
Individu yang berpura-pura tidak tahu berkomunikasi
menggunakan Bahasa Malaysia diharamkan
menyertai mana-mana program Kavyan.
Ini bukan kelas tuisyen di
mana peserta datang untuk belajar cara mengeja, atau cara menggunakan tanda
baca, imbuhan, kata sendi dan sebagainya. Ini bukan kelas tuisyen untuk
mengajar peserta tentang “Apa itu cerpen?” atau “Bagaimana menulis karangan
untuk mendapat A dalam SPM”.
Individu yang mahu menjadi peserta perlu mampu menulis menggunakan Bahasa Malaysia tanpa perlu diajar lagi tentang ejaan, tanda baca, imbuhan, huruf besar, dialog dan sebagainya yang merupakan perkara asas jika mahu menjadi penulis. [Rujuk — Panduan Bahasa]
Peserta tidak dibenarkan menghadiri sebahagian sesi sahaja, atau memohon
untuk mengirim manuskrip karya di luar daripada waktu sesi berlangsung. Bagi peserta
yang tiba lewat atau pulang awal, manuskrip yang dihasilkannya tidak akan dibincangkan.
Skop Karya
Peserta akan menghasilkan
karya Sastera Remaja,
iaitu sajak, cerpen, esei dan seumpamanya yang disasarkan kepada khalayak pembaca remaja (pembaca berumur 13-21
tahun). Peserta dinasihatkan supaya meneliti sajak, cerpen dan esei dalam
majalah seperti Dewan Siswa, Pelita Bahasa, dan Tunas Cipta sebelum menghadiri sesi penulisan. Kalau mahu menjadi
penulis karya Sastera Remaja, kenalah tahu kandungan dan skop majalah-majalah
berkenaan.
Pengangkutan dan Makan-minum
Kos makan-minum dan
pengangkutan ditanggung sepenuhnya oleh para peserta sendiri. Makan-minum tidak disediakan. Ada restoran di
sebelah lokasi acara. Peserta dinasihatkan membawa air untuk diminum semasa
sesi berlangsung.
Syarat Pakaian
Bagi semua program Kavyan,
peserta wajib memakai pakaian yang
sopan dan selesa. (Contoh: Jangan pakai pakaian yang mendedahkan seluar dalam
pada setiap kali anda duduk atau membongkok. Atau pakaian yang membuatkan anda
perlu menarik dan membetulkannya setiap dua minit.) Dilarang memakai pakaian
(baju) yang mempamerkan dengan jelas
jenama, logo, perkataan, lukisan, ilustrasi, slogan, pasukan sukan dan
sebagaimya yang tidak ada kaitan dengan program bahasa, sastera, seni dan
budaya. Program Kavyan bukan tempat untuk anda mempromosi jenama produk lain.
Barangan Keperluan
Setiap peserta wajib membawa komputer riba, buku tulis, alat
tulis, rangka idea bagi karya, dan air minuman. Jika perlu, boleh membawa bahan
rujukan. Kesemua barangan ini tidak
disediakan.
Bayaran Penyertaan
Setiap peserta
dikenakan bayaran RM30 [Jika mendaftar selewat-lewatnya pada 30 April 2019] dan bayaran RM40 [Jika mendaftar selepas 30 April 2019]. Bayaran tidak
dikembalikan jika peserta menarik diri atau gagal hadir. Tidak
ada diskaun (kerana bayaran sudah pun terlalu murah). Bayaran
tidak boleh dipindahkan kepada peserta lain. Pengesahan
penyertaan dan bayaran wajib dilakukan selewat-lewatnya pada 30 Mei 2019. (Pendaftaran akan ditutup sebaik jumlah peserta berbayar
sudah mencukupi.)
Maklumat Akaun Bank
Bayaran penyertaan perlu
dimasukkan ke akaun bank CIMB — Sasterawan Kavyan — 8600565547. Permintaan
untuk membayar pada hari program tidak
akan dilayan.
Tarikh Tutup
Tarikh akhir untuk mengesahkan
kehadiran dan membuat bayaran
penyertaan adalah pada 30 Mei 2019. Penyertaan akan ditutup awal jika
sudah ada jumlah peserta yang mencukupi. Konsep “yang dahulu didahulukan”
digunakan tanpa sebarang prejudis. Bayaran tidak dikembalikan jika peserta menarik
diri atau gagal hadir.
Borang Penyertaan
Dengan mengisi borang
penyertaan, anda mengesahkan sudah membaca
dengan teliti dan memahami serta bersetuju untuk akur pada kesemua peraturan
dan syarat
yang dinyatakan. Sila isi BORANG PENYERTAAN hanya selepas bayaran dibuat dan selepas anda
memahami kesemua syarat/peraturan. Borang yang diisi sebelum membuat bayaran
tidak dilayan.
Maklamat Lanjut dan Pertanyaan
Jika ada sebarang pertanyaan,
hubungi uthayasb@gmail.com
atau WhatsApp 011–11411952. Layari Blog Kavyan
dari semasa ke semasa untuk maklumat pelbagai program bahasa, sastera,
kebajikan, seni dan budaya.