12 May 2017

Kami Yang Bergelar Penganut Hindu


Sanatana Dharma namanya
Melangkaui zaman amalannya
Bukan sekadar agama yang diikuti
Malahan amalan hidup yang diamati

Dari yang lebih berunsur fizikal
Kepada mereka yang lebih berakal
Berbeza cara dan perjalanannya
Tiada yang sama, tiada yang berpunya

Bakti, Nyana dan Karma menjadi dorongan
Kerohanian sentiasa menjadi keutamaan
Setiap baik dan buruk diambil kira
Penentu kehidupan di lain masa

Kasta bukan pengukur sahsiah
Ia permainan golongan penjajah
Ada kalanya disalah sangka
Kerana perbuatan segelintir puaka

Syirik bukan animisme pun bukan
Semua pembayang sifat ketuhanan
Cara dipilih mengikut kemampuan
Segala urusan diberi tumpuan

Tiada pendakwah tiada yang paksa
Semua dijemput secara rela
Maksud tersurat maksud tersirat
Semua dipelajari sehingga akhirat

Harap nukilan ini memberi pencerahan
Kepada semua yang ingin berkenalan
Apa yang diamalkan dari zaman dahulu
Kami yang bergelar penganut Hindu

Renganathan a/l Palanisamy
Bandar Parkland, Klang

[Sajak ini memenangi Hadiah Saguhati dalam Pertandingan Menulis Sajak Bahasa Malaysia Bertema Hinduisme anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada April 2017. Kemenangan ini perlu dinyatakan apabila sajak ini disiarkan semula di mana-mana. Disunting oleh Uthaya Sankar SB. Hak Cipta karya dipegang oleh penulis, manakala Hak Penerbitan (untuk menyiarkan sajak ini di blog) dimiliki oleh Kavyan.]