25 Oct 2009

Baca Cerpen di Radio 24

Berikut skrip berita yang disiarkan di Bernama Radio24 (93.9FM) pada Ahad, 25 Oktober 2009, pukul 12:00 tengah hari:

Generasi muda perlu diberi ruang dan peluang untuk mengenali serta menghayati karya sastera Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh pengarang tanah air; termasuk pengarang yang sudah tiada.

Pegawai Tadbir, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Zainuddin Tasiman berkata, pengarang seperti Allahyarham Dr Othman Puteh telah menghasilkan begitu banyak karya yang sesuai bagi bacaan kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Beliau berkata demikian pada acara “Baca Cerpen Dr Othman Puteh” sempena program “Bulan Bahasa Kebangsaan” Peringkat Negeri Selangor.

Program anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan Kumpulan Sasterawan Kavyan berlangsung di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, semalam.

Dr Othman Puteh, seorang sasterawan yang amat sinonim dengan dunia sastera tanah air dan digelar “Raja Novel Remaja”.

Penulis kelahiran Kampung Kuala, Kuala Sungai Baru, Melaka ini meninggal dunia pada 19 Oktober 2003.

Kumpulan Sasterawan Kavyan pernah beberapa kali menganjurkan “Baca Cerpen Dr Othman Puteh” sebagai memberi penghormatan kepada Allahyarham yang juga pernah memegang jawatan sebagai Penasihat Kehormat Kavyan.

Baca Cerpen Dr Othman Puteh diadakan pada 10 April 2004 dan Apresiasi Karya Dr Othman Puteh pada 25 Oktober 2004 khusus untuk mengenang sumbangan beliau.

Antara karya Allahyarham Dr Othman Puteh adalah Matra, Tasik dan Laut; Ario; Munajat di Perkebunan; Jeneral; dan Kalut.

No comments: