Thursday, 9 June 2016

Membina Bakat Penulis Kaum India

Pengenalan
Perkembangan awal sastera bahasa kebangsaan di negara ini turut melihat sumbangan sekelompok penulis kaum India (sama ada beragama Hindu, Kristian atau Islam). Sumbangan kelompok penulis kaum India yang menghasilkan karya sastera Bahasa Malaysia kembali rancak pada akhir 1980-an. [BACA LAGI]

Rasional
Bagaimanapun, sejak belakangan ini, jumlah penulis kaum India yang menghasilkan karya sastera dan karya kreatif Bahasa Malaysia – seperti novel, cerpen dan sajak – semakin menyusut. Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak 1999 berusaha membina bakat penulis baharu daripada komuniti kaum India; antara lain agar mampu menghasilkan karya sastera yang menggambarkan citra budaya dan keunikan kehidupan masyarakat India di Malaysia.

Sasaran
Hasil mesyuarat antara wakil Kavyan dan Jabatan Sastera DBP di Menara DBP, Kuala Lumpur pada 8 Jun 2016, keputusan diambil untuk mengendalikan projek membina bakat penulis kaum India pada tahun 2017. Sasaran projek ini adalah menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah antologi cerpen Bahasa Malaysia yang memuatkan karya penulis kaum India di bawah bimbingan Kavyan-DBP.

Peserta
Hanya individu kaum India yang merupakan warganegara Malaysia, serta berumur 15-25 tahun (pada 2017), layak memohon untuk menyertai projek Membina Bakat Penulis Kaum India 2017. [Nota: Individu berumur lebih 25 tahun tetapi benar-benar berminat dan komited, boleh turut memohon. Jika ada banyak permohonan, bengkel khas akan diadakan bagi peserta berumur lebih 25 tahun.] Kaum India di Malaysia terdiri daripada majoriti keturunan Tamil; diikuti Telugu, Malayali, dan Punjabi. Individu yang memohon menyertai projek ini perlu mempunyai minat mendalam terhadap penulisan cerpen Bahasa Malaysia. Sebaik-baiknya pernah berusaha menulis karya asli; tetapi tidak semestinya sudah ada karya yang tersiar. Peserta wajib mampu membaca, menulis dan bercakap Bahasa Malaysia. [Tingkatkan peluang anda dengan menyertai aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya anjuran Kavyan.] Peserta juga perlu mampu memberi komitmen selama setahun; iaitu sehingga manuskrip cerpen bermutu berjaya dihasilkan. Individu yang pernah menyertai aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya anjuran Kavyan digalakkan membuat permohonan. Individu yang berpengalaman menulis karya Bahasa Tamil atau Inggeris juga dipelawa memohon. Pemohon perlu tahu maklumat asas mengenai kelompok Sasterawan Kavyan dan karya-karya terbitan DBP.

Bengkel
Bengkel pertama (2-3 hari) dijangka diadakan di Wilayah Utara, Tengah, dan Selatan pada Februari dan Mac 2017. Setiap bengkel membuka ruang penyertaan kepada 20 individu kaum India. Wilayah Utara bagi peserta dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, dan Terengganu. Wilayah Tengah untuk peserta dari Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Pahang. Wilayah Selatan untuk peserta dari Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor. Daripada 60 peserta ini, saringan akan dilakukan berdasarkan mutu manuskrip cerpen yang dihasilkan semasa bengkel. Kemudian, sejumlah peserta yang terpilih (mungkin 20-25 orang) akan diundang menyertai bengkel kedua (2-3 hari) yang dijangka diadakan pada Jun 2017 di Kuala Lumpur. Manuskrip cerpen yang sudah dihasilkan akan dibedah, dikomen, dikritik, disunting, dan dibaiki sehingga mencapai mutu yang diinginkan. Sasaran akhir projek ini adalah menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah antologi cerpen.

Kos
DBP akan menaja kos penginapan dan makan-minum para peserta. Bagaimanapun, peserta perlu menampung sendiri kos pergi-balik ke tempat bengkel diadakan; serta sebarang kos lain.

Borang Permohonan
Individu yang memenuhi syarat, serta berminat dan komited untuk menyertai projek Membina Bakat Penulis Kaum India 2017 perlu mengisi borang permohonan dalam talian sebelum 30 November 2016. Borang mestilah diisi dengan lengkap, cermat dan kemas. [BORANG DI SINI]

Proses Pemilihan
Proses pemilihan peserta akan dibuat oleh pihak Kavyan dan DBP berdasarkan borang permohonan yang diterima sehingga 30 November 2016. Pemohon yang layak akan menerima surat undangan rasmi daripada DBP selewat-lewatnya pada Januari 2017. Jika ada pemohon yang menolak undangan itu, maka peluang akan dibuka kepada pemohon lain.

Maklumat Lanjut
Jika ada sebarang pertanyaan, sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my [jangan lupa .my] sebelum 30 November 2016. Untuk sebarang pertanyaan mengenai keputusan pemilihan, sila hubungi hanya pada Januari 2017.