20 Aug 2012

Kejayaan Kavyan - Catat baca cerpen terpanjang

PERSATUAN Penulis Kaum India Malaysia (Kavyan) berjaya membuktikan kekurangan material tidak mematahkan semangat untuk mencatat rekod baca cerpen terpanjang selama 96 jam 32 minit dalam The Malaysia Book of Records.

Ia merupakan suatu kejayaan kepada dunia sastera secara keseluruhan terutama dalam usaha memasyarakatkan sastera dan membudayakan baca cerpen di negara ini.

Majlis yang berlangsung di Galeri Shah Alam, Shah Alam itu bermula jam 5 petang, 29 Ogos 2003 oleh Dr. Othman Puteh yang membaca cerpen “Guruh” itu telah berterusan sehingga jam 5.32 petang 2 September 2003 yang menampilkan Sasterawan Negara, Datuk Dr. A. Samad Said membaca cerpen “Dosa Pejuang”.

Kejayaan tersebut dicatat dalam The Malaysia Book of Records mengatasi rekod 72 jam oleh Sekolah Menengah Agama Miri, Sarawak sebelum ini yang melibatkan pembacaan cerpen bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.

Menurut Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB, pihaknya merasa bangga dapat menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat bagi menjayakan program tersebut. Seramai 166 pembaca pelbagai kaum dari seluruh negara telah terlibat dalam pembacaan 384 buah cerpen.

Selain menampilkan nama-nama besar dunia sastera tempatan seperti Sasterawan Negara, A. Samad, baca cerpen tersebut mendapat sambutan daripada peserta istimewa termasuk berkerusi roda dan cacat penglihatan.

“Para peserta menunjukkan komitmen menjayakan program ini sehingga pihak urus setia tidak menghadapi kesukaran menjayakannya.

“Kejayaan program ini amat besar maknanya kepada kegiatan memasyarakatkan sastera dan membudayakan baca cerpen, bukan untuk penganjur, tetapi sastera secara keseluruhan,” jelasnya.

Malah, kejayaan tersebut lebih manis apabila sebelum acara itu berlangsung terdapat khabar angin oleh pihak tertentu yang akan melakukan sabotaj agar usaha Kavyan tidak itu tidak berjaya. [BACA DI SINI]

Uthaya sendiri turut dikecam secara peribadi dan diugut, namun atas sikap degilnya, segala kata-kata negatif yang dilemparkan kepada beliau tidak diendahkan. [BACA SMS UGUTAN DI SINI]

Baca Cerpen Kavyan merupakan salah satu program pengisian sambutan hari kebangsaan yang mendapat sokongan dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Selangor.

Menurut Uthaya, pihaknya mengucapkan terima kasih atas sokongan semua pihak yang menjayakan program tersebut walaupun berlangsung dalam keadaan serba kekurangan.

(Luqman Hakim, Utusan Malaysia, 13 September 2003)

No comments: