Adik-adik sekalian,
Pertama sekali, biar saya terangkan bahawa rasional penggunaan perkataan ‘Paria’ pada tajuk kecil di atas adalah berikutan pandangan ilmiah seorang pakar terkemuka dari sebuah universiti tempatan terkemuka yang berhujah di sebuah akhbar arus perdana terkemuka pada 23 Januari 2011 bahawa apabila ‘Paria’ ditulis menggunakan ‘P’ huruf besar, maka ia tidak lagi bersifat rasis atau menghina.
Maka, jangan marah atau emosional apabila pengetua, guru dan rakan-rakan di sekolah serta orang awam mula menjerit ‘Hey, you! Paria with a capital P’ kerana ayat itu menggunakan ‘Paria’ sebagai proper noun dan bukannya sebagai common noun (‘paria’ yang bersifat rasis) atau sebagai adjective (‘paria’ yang bersifat menghina). [Maklumat lanjut DI SINI]
Selepas ini, tidak perlulah mana-mana pengetua atau guru yang menggunakan petikan daripada novel Interlok edisi murid semasa berucap di perhimpunan sekolah mengadakan perjumpaan tertutup, membongkok merendah diri, bersalaman dan berpura-pura memohon ampun daripada pelajar.
(Oh, ya! Apa khabar pengetua tertentu dari sekolah tertentu di Kulaijaya? Sayang sekali Interlok edisi murid tidak dijadikan teks Komsas di Johor. Kalau tidak, tentu beliau boleh berpesta semahu-mahunya.)
Adik-adik sekalian,
Jika anda merasakan penggunaan istilah ‘Paria’ pada tajuk kecil di atas bersifat rasis (common noun) atau menghina (adjective), sila buat aduan segera kepada pemilik portal berita yang menyiarkan artikel ini. Boleh juga membuat laporan di balai polis terdekat.
Tetapi, awas! Gapena dan sekutunya akan segera tampil membela saya tanpa diminta kerana saya juga sasterawan; walaupun hanya dua kali menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia yang hanya diiktiraf Kerajaan Malaysia. Perkasa pula mungkin akan memikirkan suatu bentuk pengiktirafan khas sebagai menyokong ‘perjuangan’ saya.
Selain daripada rasa bangga watak Maniam kerana ‘tergolong dalam satu kasta Paria’ (halaman 211), tidak ada apa-apa identiti diri mahupun jati diri keturunan, kaum dan agama yang dibawa oleh Maniam untuk dijadikan contoh positif oleh pembaca (pelajar).
Jangan pula mengharapkan jati diri ‘kebangsaan’ atau motivasi ke arah kaum India mencapai ‘mobiliti sosial’ daripada watak Maniam yang ‘berasa puas hati dengan pekerjaannya’ sebagai mandur di kebun kelapa (halaman 286).
Adik-adik sekalian,
Novel Interlok edisi murid memaparkan Rukun Negara pada bahagian dalam kulit depan; tentunya bukan sekadar hiasan hari raya (common noun) atau mengisi ruang kosong semata-mata!
Untuk makluman, Rukun Negara diperkenalkan pada Ogos 1970, setahun sebelum Interlok edisi pertama terbit. Namun, penanda dan petanda yang memberi gambaran bahawa Maniam memenuhi kriteria ‘Kepercayaan kepada Tuhan’ hanya kelihatan di halaman 288:
Dia hanya berdoa dalam hatinya untuk keselamatan anaknya.
Sama-samalah kita harapkan bahawa Maniam ‘berdoa’ kepada Tuhan (proper noun) dan tidak terpengaruh dengan watak-watak realiti sosial dalam Interlok seperti Pak Utih (common noun) yang menggunakan ‘tengkorak orang’ (halaman 24) untuk membuat tangkal bagi mengubat penyakit.
Berbalik kepada kisah Maniam, walaupun pada halaman 288 ada dicatatkan bahawa Maniam pergi ke Pulau Pinang semasa perayaan Thaipusam, jangan pula kita terus membuat andaian bahawa Maniam sudah ‘bertaubat’ dan pergi menunaikan nazar di kuil.
Sekadar perbandingan, cuba kira berapa ramai orang Melayu, Cina, Iban, Kadazan, Jawa, Bugis dan sebagainya yang pergi ke Batu Caves semasa Thaipusam. Belum lagi mengambil kira kunjungan kali kedua Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak pada 20 Januari 2011 sempena Thaipusam.
Satu-satunya penanda dan petanda yang mungkin boleh diterima akal rasional adalah petikan berikut:
Ketika perayaan Diwali – perayaan cahaya – dia hanya merayakannya dengan memasang divas di rumahnya dan di hadapan gambar Dewi Laksymi. (halaman 288)
Selebihnya – khususnya dalam ‘Buku Tiga: Keluarga Maniam’ (halaman 210-284) – tiada langsung penanda dan petanda bahawa Maniam dan keluarganya menganut mana-mana agama.
Kecuali, tentunya, upacara perkahwinan (halaman 226-228) yang diceritakan secara amat terperinci membabitkan ‘kaman, dewa cinta’ dan pemujaan ‘dewa Palikai’ yang entah pengaruh ajaran dari mana!
Selepas berkahwin, Malini ternyata bunting pelamin. Maniam pula gagal melaksanakan tugasnya sebagai seorang suami dalam hal membimbing isterinya menjadi seorang individu yang beragama dan mengamalkan budaya tradisi.
Adik-adik sekalian, kita akan sambung topik menarik ini esok.
Uthaya Sankar SB pernah menulis mengenai ‘Kama Sutra’ (proper noun) dalam majalah Sarina pada 2004. Karyanya boleh dibaca di www.uthayasb.blogspot.com
No comments:
Post a Comment