Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB berkata, laporan di media sejak belakangan ini membuktikan bahawa perkara yang menjadi isu sebenar ditenggelami pelbagai isu lain, termasuk isu berbaur politik perkauman.
“Masyarakat lebih banyak disajikan dengan laporan mengenai satu pihak bertegas mempertahankan Interlok dan di satu pihak meminta supaya edisi murid novel itu dimurnikan.
“Malangnya, ada pihak yang masih gagal membezakan antara novel asal yang terbit pada 1971 dan edisi murid yang disunting dua editor lalu terbit pada 2010 khusus untuk kegunaan Komsas di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada 12 Januari 2011.
Uthaya berkata, belum ada usaha dilakukan secara bersungguh-sungguh untuk mengadakan dialog pada erti kata sebenar dengan mempertemukan pakar budaya kaum India dan golongan penulis sastera untuk duduk semeja membincangkan isu itu secara bijak pada suatu majlis ilmu.
“Masyarakat juga dikelirukan kerana ada pihak yang mahu mempertahankan Interlok sepenuhnya sebagai sebuah karya fiksyen dan ada pihak yang tampil mempertahankan karya itu sebagai tepat seratus peratus dari segi fakta sejarah,” katanya.
Uthaya yang juga pengarang prolifik dan penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia berkata, Kavyan akan mengadakan sesi taklimat khas mengenai novel Interlok pada Ahad ini [MAKLUMAT DI SINI] untuk memberi penjelasan secara tekstual berkaitan kandungan sebenar novel edisi murid itu kepada umum.
“Majlis ilmu itu akan mampu memberi maklumat berupa fakta yang diharap mengembalikan perbincangan ke landasan sebenar supaya isu dapat diselesaikan secara baik,” katanya.
Menurutnya, Kavyan juga menyokong saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan sedia mewakili kaum India bertemu Kementerian Pelajaran untuk sama-sama berdialog secara baik untuk menenangkan keadaan.
Najib berkata, isu berkaitan novel Interlok dibincangkan pada mesyuarat kabinet tetapi tiada keputusan dibuat.
“Kita minta supaya kaum India memilih beberapa orang untuk berdialog dengan Kementerian Pelajaran supaya kita dapat menentukan cara mana kita boleh menenangkan keadaan,” katanya kepada pemberita di Putrajaya, pada 12 Januari 2011.
No comments:
Post a Comment