Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) tidak bersetuju, tidak menyokong dan tidak akan terlibat dalam pembakaran mana-mana buku sastera mahu bukan sastera; termasuk novel Interlok edisi murid yang menimbulkan kontroversi kerana dikatakan menyentuh sensitiviti kaum India di negara ini.
.
Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB berkata, dalam budaya India, perbuatan membakar buku dan bahan-bahan bacaan dianggap menghina ilmu.
.
“Dengan itu, Kavyan yang mewakili kelompok peminat dan penulis karya sastera kebangsaan membidas sekeras-kerasnya tindakan membakar novel Interlok dan gambar Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, seperti dilaporkan media [BACA DI SINI] pada 9 Januari 2011,” katanya dalam suatu kenyataan kepada media, di Shah Alam.
[Tambahan pada 24 Januari 2013: Kalaulah Kavyan menentang keras perbuatan membakar buku cerita/fiksyen/novel, tentulah bantahan lebih keras ditujukan kepada mana-mana pihak yang mahu membakar - atau meminta orang lain membakar - buku-buku berupa kitab suci mana-mana agama. Kavyan kecewa dengan tindakan mana-mana pihak yang tergamak menghasut orang ramai membakar mana-mana kitab suci mana-mana agama - BACA DI SINI]
[Tambahan pada 24 Januari 2013: Kalaulah Kavyan menentang keras perbuatan membakar buku cerita/fiksyen/novel, tentulah bantahan lebih keras ditujukan kepada mana-mana pihak yang mahu membakar - atau meminta orang lain membakar - buku-buku berupa kitab suci mana-mana agama. Kavyan kecewa dengan tindakan mana-mana pihak yang tergamak menghasut orang ramai membakar mana-mana kitab suci mana-mana agama - BACA DI SINI]
.
Uthaya berkata, Kavyan juga bersedia memberi taklimat berkaitan budaya kaum India kepada pihak Kementerian Pelajaran, penerbit, persatuan penulis dan badan bukan kerajaan (NGO) yang masih kurang faham mengapa masyarakat India di Malaysia kecewa dengan paparan dalam bahagian tertentu novel edisi murid itu. [BACA DI SINI]
.
Menurutnya, Kavyan juga kecewa dengan kenyataan pihak tertentu yang menganggap bantahan kaum India di Malaysia terhadap novel Interlok edisi murid disebabkan rasa dengki dan cemburu terhadap kejayaan Abdullah.
.
“Semasa sesi dialog anjuran Persatuan Penulis Nasional (Pena) pada 8 Januari 2011, penulis veteran Dr Ilias Zaidi mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat ‘tangan-tangan halus’ yang dengki terhadap kejayaan Abdullah apabila novelnya dijadikan teks Komsas.
.
“Ilias menganggap golongan yang menentang novel Interlok edisi murid mahu sengaja ‘memancung’ sumber rezeki Abdullah, manakala seorang lagi panel mempersoalkan patriotisme kumpulan yang tidak senang dengan novel itu dan pandangan mereka dilaporkan di sebuah portal berita [BACA DI SINI] pada 8 Januari 2011,” katanya.
.
Novel Interlok diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam edisi murid dan dijadikan teks Komponen Sastera dalam Pembelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) bagi pelajar Tingkatan Lima di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan bermula tahun ini.
.
Kandungan novel itu di bahagian tertentu dikatakan menyentuh sensitiviti kaum India serta memberi maklumat salah berkaitan sistem kasta dan kepercayaan agama masyarakat India. [BACA DI SINI]
.
Uthaya yang pernah menghasilkan kumpulan cerpen Surat Dari Madras (1999) serta menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia berkata, novel Interlok masih boleh dijadikan teks Komsas jika edisi murid itu dimurnikan sepenuhnya dengan membuang kandungan yang sensitif, bersifat menghina dan salah fakta.
.
“Panel yang terlibat dalam pemilihan teks ini amat wajar merujuk kepada ilmuan dan pakar budaya dalam kalangan kaum India untuk memurnikan novel Interlok sebelum dicetak semula bagi kegunaan pelajar,” katanya.
..
NOTA: Kenyataan ini yang disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 10 Januari 2011 menggunakan nama Timbalan Presiden Kavyan, Prakash Suriyamurthy [BACA DI SINI] kerana Uthaya Sankar SB selaku Penolong Editor Sinar Harian mengendalikan bahan-bahan siaran untuk hari itu. Turut disiarkan kenyataan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayud [BACA DI SINI] dan Presiden PENA, Mohamad Saleeh Rahamad [BACA DI SINI].
No comments:
Post a Comment