6 Aug 2009

Kavyan Mendambakan Pengiktirafan?

Saya bersetuju dengan pandangan Nisah Haji Haron dalam artikel beliau “Sastera Pelbagai Kaum – Satu Jenama Lapuk?” siaran Tunas Cipta (TC), Jun 2009 bahawa, pembahagian penulis mengikut kaum harus ditiadakan, apatah lagi apabila penulis berkenaan berkarya dalam bahasa kebangsaan.

Saya terpanggil untuk memberi sedikit penjelasan tentang kenyataan Nisah bahawa Kumpulan Sasterawan Kavyan “mendambakan pengiktirafan di persada sastera Melayu dan dengan yang demikian, mewujudkan kelompok tersendiri dan dilihat seolah-olah memperkukuh kedudukan mereka dalam sastera Melayu”.

Saya bimbang kenyataan ini boleh memberi gambaran negatif terhadap Kavyan, khususnya dalam kalangan pembaca majalah TC yang mungkin belum berpeluang mengenali Kavyan yang diasaskan pada Ogos 1999.

Walaupun Kavyan diterajui oleh sekumpulan pengarang atau peminat sastera dalam kalangan kaum India, segala aktiviti anjuran Kavyan adalah terbuka kepada umum tanpa batasan kaum.

Saya masih ingat, selepas kejayaan aktiviti Baca Cerpen Kavyan selama 96 jam 32 minit pada tahun 2003, seorang wartawan bertanya, “berapa ramai peserta Melayu, Cina dan India yang mengambil bahagian?”

Sehingga kini, kami tidak dapat memberikan jawapan kerana pihak Kavyan tidak pernah – dan tidak akan – membuat pembahagian peserta mengikut kategori kaum.

Malah, dalam aktiviti Baca Cerpen, kami memilih karya berdasarkan kesesuaian dengan khalayak sasaran; bukannya berdasarkan kaum.

Apa-apa yang mungkin menimbulkan salah faham dalam kalangan pihak tertentu adalah kerana Jawatankuasa Kavyan mestilah terdiri daripada individu kaum India, warganegara Malaysia.

Tidak wajar untuk mendakwa yang syarat itu menjadikan Kavyan “bersikap perkauman” atau “cuba mewujudkan kelompok tersendiri”.

Jauh sekali untuk “mengharapkan pengiktirafan daripada mana-mana pihak” atau “cuba memperkukuh kedudukan dalam sastera Melayu”.

Bagi pembaca TC yang belum berpeluang mengenali Kavyan, bolehlah mendapatkan maklumat terperinci di www.kavyan.blogspot.com dan www.kavyan.cjb.net.

Tunas Cipta, Ogos 2009

No comments: