25 Dec 2018

Dokumentasi Budaya Chetti Melaka


Program
Penghayatan dan Dokumentasi Budaya Chetti Melaka

Tarikh
Akan dimaklumkan

Tempat
Gajah Berang, Melaka [di sebuah inap desa]

Penganjur
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)

Pengenalan
Komuniti Chetti di Melaka merupakan suatu kelompok masyarakat yang amat istimewa dan unik. Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) mengadakan kunjungan ke sana sejak tahun 2006 serta mengusahakan dokumentasi menerusi penulisan rencana dan puisi. Antaranya adalah rencana fokus di majalah Dewan Budaya keluaran Mac 2007 dan Mac 2015. Beberapa rencana juga dimuatkan dalam buku Mandala Bicara (2016). [RujukBlog Kampung Chetti]


Komuniti Chetti Melaka beragama Hindu dan bahasa ibunda mereka adalah bahasa Melayu. Sayang sekali kerana belum ada wakil komuniti yang tampil menulis esei, rencana dan puisi mengenai keunikan budaya dan warisan mereka. Komuniti tempatan kelihatan lebih banyak terlibat (atau dilibatkan) dalam persembahan tarian dan nyanyian untuk tontonan awam.

Kita masih terpaksa bergantung kepada “orang luar” (bukan Chetti Melaka) untuk melakukan kajian, penulisan dan dokumentasi. Selain daripada usaha Kavyan, Samuel S. Dhoraisingam dari Singapura muncul dengan buku sulung mengenai komuniti Chetti Melaka berjudul Peranakan Indians of Singapore and Melaka (2006). [Tonton VideoDokumentari Suria TV]

Kavyan pernah berusaha menggalakkan serta membimbing generasi muda Chetti Melaka supaya tampil memelihara, memulihara dan mempromosikan keunikan budaya masyarakat Chetti Melaka menerusi aktiviti penulisan, seni dan budaya. Malangnya, “Projek Komuniti Kampung Chetti” yang dimulakan pada Disember 2016 tidak dapat diteruskan selepas Pesta Ponggol pada Februari 2017 berikutan perubahan dalam kepimpinan komuniti tempatan. [Baca jugaHuru-hara di Kampung Chetti]

Kini, Kavyan merancang mengendalikan sesi khas bagi membimbing golongan penulis pelbagai kaum — termasuk belia komuniti Chetti — menghayati keunikan budaya dan warisan komuniti Chetti Melaka, dan seterusnya menulis rencana, puisi dan cerpen berkaitan seni, warisan dan budaya komuniti berkenaan. Karya-karya ini akan disalurkan ke majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Rasional
Penganjuran Sesi Penulisan Intensif Sasterawan Kavyan pada 15–16 Disember 2018 di Shah Alam membuktikan kejayaan di mana para peserta menghasilkan manuskrip yang dibengkelkan, dibedah, dibincang dan disunting sebelum terus dikirim kepada editor majalah-majalah DBP. Program khas ini pula bertujuan membantu golongan penulis memahami keunikan seni, budaya dan warisan komuniti Chetti Melaka, dan seterusnya mengungkapkan keunikan itu dalam bentuk karya seperti puisi, cerpen dan rencana.



Objektif
● Mengangkat keunikan seni, budaya dan warisan komuniti Chetti Melaka dalam karya.
● Memberi pendedahan dan panduan lengkap mengenai format, syarat dan teknik penulisan puisi, cerpen dan rencana bagi majalah-majalah DBP.
● Memberi peluang peserta berbincang, mengadakan sesi sumbang saran, perkongsian idea, bedah karya dan semakan manuskrip secara berkumpulan mengikut konsep “rakan sebaya”.
● Menyalurkan karya bermutu ke majalah-majalah DBP.
● Memperkaya Sastera Kebangsaan menerusi karya berkaitan komuniti Chetti Melaka.

Keunikan
Para penulis yang menyertai program ini akan terlibat bersama-sama dalam perbincangan, perkongsian pengalaman, sumbang saran (brainstorming), penulisan, bedah karya, semakan manuskrip dan sebagainya menggunakan konsep “rakan sebaya” tanpa campur tangan pihak luar yang mungkin menyebabkan wujud jurang komunikasi dan tiada keterbukaan. Belia Chetti Melaka pula boleh menjadi sumber rujukan mengenai seni, budaya dan warisan komuniti mereka.



Peserta
Sepuluh penulis pelbagai kaum yang sudah ada pengalaman menulis dan berminat untuk menghasilkan karya berkaitan seni, budaya dan warisan komuniti Chetti Melaka. Belia Chetti Melaka juga akan menjadi peserta. Peserta perlu bermalam di inap desa yang menjadi tempat sesi penulisan berlangsung. Promosi dan pendaftaran peserta diuruskan oleh Kavyan.

Pembimbing
Uthaya Sankar SB berpengalaman menulis untuk majalah-majalah DBP sejak 1992, mengendalikan bengkel penulisan di seluruh negara sejak 1994, mengasaskan Kavyan pada 1999, dan menerbitkan buku sejak 2002. Beliau juga merancang, melaksanakan dan membimbing peserta Sesi Penulisan Intensif Sasterawan Kavyan pada 15 – 16 Disember 2018.

Pengangkutan dan Makan-minum
Pengangkutan disediakan dari Shah Alam, Selangor ke Gajah Berang, Melaka, di mana para peserta terbabit berkongsi kos tol dan petrol. Kos makan-minum ditanggung sendiri oleh para peserta.

Yuran Penyertaan
Peserta luar dikenakan yuran penyertaan RM100 seorang manakala komuniti Chetti Melaka dikenakan yuran penyertaan RM50 seorang. Yuran ini tidak dikembalikan jika peserta menarik diri atau gagal hadir. Pengesahan penyertaan dan yuran penyertaan wajib dilakukan selewat-lewatnya pada 20 Mac 2019.

Maklumat Akaun Bank
Yuran penyertaan perlu dimasukkan ke akaun bank CIMB — Sasterawan Kavyan — 8600565547 pada Mac 2019 dan kemudian mengisi borang penyertaan di bawah.


Borang Penyertaan
Maklumat dalam borang penyertaan ini — KLIK DI SINI — hanya diisi selepas bayaran yuran penyertaan sudah dibuat. Sila pastikan borang penyertaan diisi selewat-lewatnya pada 20 Mac 2019.

Tarikh Tutup
Tarikh akhir untuk mengesahkan kehadiran dan membayar yuran penyertaan adalah pada 20 Mac 2019. Penyertaan mungkin ditutup lebih awal jika sudah ada jumlah peserta yang mencukupi. Konsep “yang dahulu didahulukan” digunakan tanpa sebarang prejudis.

Maklamat Lanjut dan Pertanyaan
Jika ada sebarang pertanyaan, hubungi infokavyan@yahoo.com.my atau WhatsApp 011–11411952. Layari Blog Kavyan untuk maklumat program semasa.