Monday, 11 April 2016

Bakat Seni dan Budaya Kaum India

Projek
Bakat Seni dan Budaya Kaum India

Tarikh
29 Mei 2016 (Ahad)

Masa
10:00 pagi – 12:00 tengah hari

Tempat
Pusat Kebudayaan India (ICC), Tingkat 17, Sentral Vista, Jalan Sultan Abdul Samad, Brickfields, Kuala Lumpur – Terletak tidak jauh dari KL Sentral, NU Sentral, Stesen Monorel Tun Sambanthan dan Kompleks MAB Brickfields. [RUJUK PETA]

Penganjur
Pusat Kebudayaan India (ICC), Suruhanjaya Tinggi India
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)
Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar, Malaysia (DHRRA Malaysia)

Pengenalan
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada Ogos 1999 terlibat dalam mengendalikan pelbagai program bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya di seluruh negara dengan kerjasama pelbagai pihak. Walaupun rata-rata program Kavyan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertujuan memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa perpaduan, Kavyan tidak menafikan kepentingan serta hak masyarakat pelbagai kaum di Malaysia menggunakan bahasa-bahasa lain; khususnya bahasa ibunda. Sebagai salah satu usaha meraikan kepelbagaian, Kavyan turut mengendalikan serta menyokong aktiviti dalam Bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin. Misalnya, Baca Karya Penulis Malaysia yang dianjurkan dengan kerjasama Pusat Kebudayaan India (ICC) pada 20 Disember 2015 menampilkan penulis pelbagai kaum yang berkongsi bacaan karya pelbagai bahasa. Kavyan juga sentiasa berusaha membuka ruang dan peluang kepada khalayak pelbagai kaum mengetengahkan keunikan seni dan budaya masing-masing. DHRRA Malaysia sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diberikan kepercayaan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk memperkasa komuniti India di peringkat akar umbi. ITBM pula sebuah agensi kerajaan yang melakukan penerbitan dan terjemahan karya pelbagai bahasa untuk khalayak tempatan dan antarabangsa.

Rasional
Perkembangan dan pemupukan bahasa, seni dan budaya kaum India sering dikaitkan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), tetapi pada realiti, ketiga-tiga aspek berkenaan turut digalakkan serta dipupuk di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK). Malah, apabila peluang menonjolkan bakat bahasa, seni dan budaya India menggabungkan pelajar SJKT, SK, SMK, kolej, universiti dan sebagainya, khalayak pelbagai kaum berpeluang mengenali, menghayati dan menikmati keunikan budaya yang disajikan dalam konteks masyarakat majmuk. Secara langsung, usaha ini menyumbang ke arah memupuk persefahaman dan perpaduan dalam kalangan Bangsa Malaysia.

Objektif
1. Memberi peluang kepada orang ramai menonjolkan bakat dalam bidang bahasa, sastera, seni dan budaya kaum India.
2. Memupuk perpaduan antara kaum menerusi persembahan kebudayaan.
3. Meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi keunikan Malaysia.
4. Mengangkat Bahasa Malaysia sebagai medium komunikasi antara kaum.

Bahasa Pengantar
Majlis akan dikendalikan oleh pengacara menggunakan Bahasa Malaysia. Bahasa Inggeris dan Tamil mungkin diselit mengikut keperluan dan kesesuaian. Persembahan pula boleh menggunakan mana-mana bahasa.

Peserta
Penyertaan Bakat Seni dan Budaya Kaum India terbuka kepada warganegara Malaysia yang berminat mempersembahkan bakat seni dan budaya kaum India di pentas. Penyertaan boleh didaftar secara individu (1 orang), berpasangan (2 orang), atau berkumpulan (3-5 orang). Peserta wajib mendaftar menggunakan BORANG PENYERTAAN RASMI selewat-lewatnya pada 22 Mei 2016 (Ahad), pukul 5:00 petang. Para peserta yang sudah mendaftar juga wajib berada di tempat acara sebelum pukul 10:00 pagi [Waktu Kavyan] pada 29 Mei 2016.

Bayaran Penyertaan
Tiada bayaran penyertaan dikenakan. Bagaimanapun, sesiapa yang sudah mendaftar tetapi gagal hadir tidak dibenarkan menyertai mana-mana aktiviti Kavyan sepanjang tahun 2016.

Borang Penyertaan
Peserta wajib mendaftar menggunakan BORANG PENYERTAAN RASMI selewat-lewatnya pada 22 Mei 2016 (Ahad), pukul 5:00 petang. Para peserta yang sudah mendaftar juga wajib berada di tempat acara sebelum pukul 10:00 pagi [Waktu Kavyan] pada 29 Mei 2016. 

Pakaian
Para peserta diwajibkan memakai pakaian tradisional kaum India. Para hadirin juga digalakkan memakai pakaian tradisional. Sukarelawan Kavyan perlu memakai kemeja-T Kavyan.

Persembahan
Persembahan boleh menggunakan sebarang bahasa. Tempoh persembahan adalah 5-10 minit sahaja (minimum 5 minit, dan maksimum 10 minit). Persembahan yang dibenarkan adalah tarian, nyanyian, lakonan, taridra/dramatari, deklamasi sajak, bacaan teks, pidato, bermain alat muzik, seni pertahankan diri (seperti silambam) serta seni persembahan kaum India yang sesuai untuk ditonjolkan kepada khalayak pelbagai kaum, serta sesuai dipersembahkan di pentas. Persembahan boleh juga menggabungkan beberapa bentuk seni, sastera dan budaya. Tarian, lagu, lakonan dan sebagainya yang tidak mencerminkan keunikan seni, sastera atau budaya kaum India tidak dibenarkan. Kavyan selaku penyelaras berhak menghalang sebarang persembahan yang didapati tidak menepati syarat.

Persiapan Pentas
Para peserta diingatkan supaya tidak membawa peralatan atau hiasan untuk disusun/diletak di pentas. Masa yang diambil untuk menyusun barangan (prop) termasuk dalam masa persembahan (5-10 minit). Jika menggunakan muzik latar atau minus one, sila serahkan kepada juruteknik sebelum 10:00 pagi.

Pemenang
Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga akan ditentukan menerusi undi yang dilakukan oleh para hadirin (umur minimum 13 tahun). Maka, peserta digalakkan mengundang rakan-rakan dan saudara-mara berumur minimum 13 tahun untuk hadir memberikan sokongan menerusi undi. Kuasa undi hanya diberikan kepada hadirin (penonton) berumur minimum 13 tahun yang mendaftar nama di meja pendaftaran sebelum pukul 10:00 pagi [Waktu Kavyan]. Sesiapa yang hadir selepas pukul 10:00 pagi boleh menjadi penonton, tetapi tiada kuasa mengundi. Sebarang rayuan tidak dilayan.

Hadiah
Setiap peserta menerima sijil penyertaan. Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga menerima hadiah buku, selaras usaha menggalakkan budaya membaca. Hadiah lain akan diberi sekiranya ada tajaan dan sumbangan. Bagi penyertaan berkumpulan, hadiah perlu dikongsi mengikut budi bicara ahli kumpulan. Harap maklum bahawa tiada sebarang hadiah lumayan ditawarkan.

Atur Cara
Rangka atur cara adalah seperti berikut:

9:15 pagi
Pengesahan pendaftaran peserta
Pendaftaran penonton (untuk kertas undi)
Sarapan (tajaan Pusat Kebudayaan India)

10:00 pagi [Waktu Kavyan]
Persembahan peserta
(5-10 minit sahaja bagi setiap persembahan)
Persembahan selingan - kathak
(oleh wakil Pusat Kebudayaan India)

11:30 pagi [anggaran]
Ucapan pengarah Pusat Kebudayaan India
Ucapan presiden DHRRA Malaysia
Penyampaian hadiah kepada pemenang
Sesi fotografi

Penutup dan Harapan
Acara Bakat Seni dan Budaya Kaum India mampu mencapai objektif yang disasarkan dengan adanya kerjasama semua pihak terbabit. Acara ini juga membuka ruang dan peluang kepada masyarakat pelbagai kaum menjalankan aktiviti berkaitan bahasa, sastera, seni dan budaya di Pusat Kebudayaan India. Kerjasama ICC, ITBM, DHRRA Malaysia dan Kavyan turut menyokong usaha memelihara seni dan budaya kaum India di Malaysia.

Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan berhubung program ini, sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my. Layari www.kavyan.blogspot.my dari semasa ke semasa untuk maklumat perkembangan aktiviti Kavyan.