27 Feb 2012

Jangan ditipu penerbit buku

PETALING JAYA: Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan, Uthaya Sankar SB menyarankan Kementerian Pelajaran Malaysia berhati- hati agar tidak tertipu oleh segelintir penerbit.

“Harapan Kavyan adalah supaya Kementerian Pelajaran tidak akan ‘tertipu’ lagi oleh pihak tertentu yang cuba memanipulasi kelemahan pemilihan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).


“Nasihat dan harapan ini dibuat berikutan pendedahan beberapa penulis sejak 15 Ogos 2011 bahawa terdapat penerbit tertentu yang menipu dan menganiaya penulis dalam penerbitan teks Komsas yang sedang digunakan di sekolah sekarang (2011-2015),” kata Uthaya dalam satu kenyataan media.


Kenyataan ini dibuat oleh Uthaya kerana tender pemilihan teks Komsas tahun 2016-2020 kini dibuka dan khabarnya taklimat sudah diadakan pada 13 Februari 2012 di Auditorium Parcel E, Kompleks Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.


“Beberapa penulis tampil mendedahkan kepada Kavyan berhubung kemungkinan penerbit tertentu mengemukakan beberapa dokumen palsu (khususnya surat izin) yang kononnya ditulis dan ditandatangani oleh penulis terbabit,” kata Uthaya yang menerima aduan sebegini sejak bulan November tahun lalu.


Kaut untung


Beliau turut mendedahkan kepincangan dalam sistem pemilihan teks Komsas yang membolehkan penerbit mengaut keuntungan dengan menafikan royalti penulis.


Sehubungan dengan itu, Kavyan turut mencadangkan Kementerian Pelajaran mewajibkan pegawainya menghubungi penulis-penulis berkenaan untuk mendapatkan pengesahan sebelum karya mereka dipilih sebagai teks Komsas.


Di samping itu, Kavyan mencadangkan penerbit diwajibkan menyerahkan maklumat penulis seperti alamat, nombor telefon dan e-mel bersama karya yang dikemukakan untuk penilaian.


Ini kerana terdapat kes di mana penerbit yang langsung tidak memberitahu penulis bahawa karyanya dijadikan teks Komsas dan perkara ini diketahui penulis hanya selepas karya diterbitkan.


“Pada masa sama, ada penerbit yang didapati mengemukakan dokumen palsu, kononnya ditandatangani penulis. Dalam isu ini, sekurang -kurangnya empat penulis sudah membuat laporan polis terhadap penerbit terbabit,” jelas Uthaya.


Antara hak cipta dan hak penerbitan


Selain itu, Kavyan turut mencadangkan agar karya yang hak ciptanya dipegang penulis dinilai sebagai teks Komsas.


“Langkah ini juga penting bagi mengelakkan penerbit yang tidak beretika menggunakan alasan ‘outright purchase’ untuk ‘menipu’ Kementerian Pelajaran dan penulis dengan mengatakan karya itu menjadi hak milik penuh penerbit.


“Penerbit atau pembekal juga wajib mengemukakan dokumen perjanjian penerbitan yang asal bagi karya berkenaan sebagai bukti bahawa hak cipta masih dipegang oleh penulis,” katanya.


Selain itu, Kavyan berharap agar karya Sasterawan Negara, penerima SEA Write Award, penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan karya yang benar-benar bermutu serta pertama kali terbit pada tahun 2000-2011 diberi keutamaan.


Ini katanya boleh mengelakkan kontroversi seperti yang berlaku dalam pemilihan teks Interlok.


Kumpulan tersebut juga berharap teks yang dipilih tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum, agama dan budaya masyarakat Malaysia.


(K Pragalath, Free Malaysia Today, 27 Februari 2012)