29 Nov 2018

Mendefinisi Semula “Melayu”


Tarikh:
30 Disember 2018 (Ahad)

Masa:
10:00 pagi — 12:30 tengah hari

Tempat:
Setia Alam, Shah Alam, Selangor

Siapa “Melayu”?
  
Topik berkaitan “Melayu” dianggap amat sensitif untuk diperkatakan di Malaysia — apatah lagi jika mahu dibicarakan secara kritikal dan terbuka dalam kalangan khalayak pelbagai kaum, etnik, agama dan latar belakang.

Namun begitu, sesi “Mendefinisi Semula Melayu” diadakan atas kesedaran bahawa topik-topik berkaitan “Melayu” perlu diperkatakan secara terbuka, khususnya di era Malaysia Baharu.

Apakah makna atau definisi “Melayu”? Ramai yang akan secara mudah bersandar kepada definisi menurut Perkara 160 dalam Perlembagaan Persekutuan. Tanpa sesekali berniat mempertikai keluhuran Perlembagaan, kita masih boleh membahaskan skop dan makna “lazim bercakap bahasa Melayu” dan “menurut adat Melayu” dalam konteks semasa.



Penggunaan istilah “Melayu” secara amat longgar di Malaysia membawa pula kepada pertanyaan tentang kedudukan, identiti, budaya dan jati diri orang Jawa, Bugis, Banjar, Aceh, Minang, Mandailing, Lombok, Madura, Champa, Rawa, Pattani, Sunda, Riau, Betawi, Boyan, Batak, Toraja dan sebagainya apabila kesemua mereka dilonggokkan sebagai “Melayu” di negara ini.

Susah Jadi Melayu

Dalam George Town Literary Festival (22-25 November 2018), salah satu topik menarik yang dibincangkan dalam forum adalah “Susah Jadi MelayuThe Politics of What It Means to be Malay in Malaysia and Singapore”. Forum berkenaan yang dikendalikan oleh Izzuddin Ramli (Penang Institute) menampilkan Aidli Mosbit dan Azhar Ibrahim dari Singapura, serta Ridhwan Saidi dan Raja Ahmad Aminullah dari Malaysia. Kesuntukan masa menyebabkan banyak isu tidak sempat dibincangkan. (Saya, Ridhwan, Izzuddin, Fahmi Mustaffa, Abdul Rahman Shah, Azrin Fauzi dan beberapa rakan lain sempat berbincang panjang-lebar topik ini dari pelbagai sudut sambil makan-minum di restoran.)

Persoalan “Susahkah Menjadi Melayu?” dan “Senangkah Menjadi Melayu?” juga menarik untuk dibincangkan pada sesi/forum yang dirancang ini. Malah, kata “menjadi” boleh pula dibincangkan dari aspek “being/remaining” dan “becoming”.

Melayu = Islam

Pada masa sama, hubungan antara “Melayu” dan “Islam” juga boleh diketengahkan untuk pemahaman lanjut. Apakah seseorang yang tidak lagi patuh pada ajaran Islam dianggap bukan “Melayu”? Bagaimana jika orang “Melayu” itu berada di negara luar yang tidak mewajibkan syarat “Melayu = Islam”?

Dan bagaimana jika seseorang meninggalkan agama asal dan memeluk agama Islam, mengamalkan “budaya Melayu” dan bertutur bahasa Melayu? Adakah mereka menjadi orang “Melayu”? Polemik dan percanggahan pendapat dalam hal ini sering berlaku di Malaysia.

Bahasa Malaysia dan Sastera Melayu

Turut mengundang pertanyaan dan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum/etnik adalah tentang kedudukan Bahasa Malaysia (bahasa Melayu) sebagai bahasa yang semacam dipaksakan kepada orang ramai, tetapi pada masa sama “terpenjara” sebagai bahasa milik eksklusif orang Melayu. Dalam pada memperjuangkan supaya Bahasa Malaysia dijadikan bahasa pengantar di semua sekolah (Sekolah Tamil dan Sekolah Cina), “pejuang” bahasa Melayu tidak berani mengkritik penggunaan Bahasa Inggeris di UiTM, Kolej Mara dan sebagainya yang menjadi tumpuan pelajar Melayu.

Bagaimana pula untuk mentakrif “Sastera Melayu”? Adakah ia masih lagi berciri “oleh Melayu, tentang Melayu, untuk Melayu” atau sudah berciri “Malaysia”? Mampukah pula “Sastera Melayu” menyumbang kepada pembinaan Bangsa Malaysia, atau akan terus kekal berciri etnosentrik? Mungkinkah “Sastera Melayu” berbeza dengan “Sastera Malaysia”?

Ada pandangan ekstrim yang mengatakan orang “Bukan Melayu” tidak berhak mempersoalkan perkataan-perkataan yang terkandung dalam Kamus Dewan kerana ia “harus dilihat dari perspektif pandangan Melayu dan bukan dari kaca mata kaum-kaum lain” (The Malaysian Insider, 18 April 2011).

Hak Istimewa Melayu

Kita sering perhatikan orang “Melayu” merasakan hak dan kedudukan mereka tergugat dan digugat. Hal ini sedikit menghairankan kerana golonga majoriti itu diberi pelbagai keistimewaan, perlindungan dan peluang khas dalam segala bidang. Lalu, mengapa “Melayu” masih merungut dan menyalahkan kaum-kaum lain sebagai menggugat kedudukan ekonomi, budaya, sosial dan politik mereka?

Apakah menjadi “Melayu” bermakna orang lain perlu menghormati, memahami dan menyanjung mereka, tetapi mereka pula tidak perlu menghormati dan memahami orang lain? Perbezaan antara Ketuanan Melayu dan Ketuanan Rakyat juga menarik untuk diteliti.

Adakah orang “Melayu” mengenal Wasiat Raja-raja Melayu 1957? Mengapa kebanyakan orang “Melayu” membenarkan politikus dan puak etnosentrik mengapi-apikan sentimen perkauman, antaranya dengan mengatakan Perlembagaan akan dipinda bagi menghapuskan hak-hak orang Melayu — sedangkan hak-hak itu terjamin di bawah Wasiat Raja-raja Melayu?

Semasa Forum Bahasa Jiwa Bangsa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 21 November 2018, diingatkan bahawa masyarakat “Bukan Melayu” perlu menghormati sensitiviti orang “Melayu”. Soalnya, apakah perasaan menghormati itu harus bersifat sehala; yakni menjadi orang Melayu bermakna seseorang itu berhak untuk “difahami dan dihormati” tetapi dia tidak perlu “memahami dan menghormati” orang lain?

Panelis Diperlukan

Demikian antara topik-topik menarik yang jarang dibincangkan secara terbuka — dan tidak terlalu emosional atau terlalu berbaur sentimen perkauman — dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, etnik dan agama di Malaysia.

Sesi forum yang dijadualkan ini mengundang lima (5) individu yang berminat secara sukarela menjadi panel pembicara. Hubungi uthayasb@yahoo.com.my atau WhatsApp 011-11411952 untuk mendaftar nama. Peluang sama rata diberi kepada sesiapa yang mahu tampil sebagai pembicara secara sukarela.

Panelis akan menerima cenderamata bahan bacaan sebagai tanda penghargaan kerana sudi berkongsi pandangan serta menjawab pertanyaan peserta forum.

Maklumat Kepada Hadirin

Hadirin terdiri daripada khalayak pelbagai kaum, etnik, agama dan latar belakang yang berminat untuk mendengar serta terlibat dalam perbincangan secara terbuka mengenai topik “Melayu” yang sering dianggap terlalu sensitif untuk diperkatakan.

Hadirin (peserta) perlu mendaftar dengan menghubungi infokavyan@yahoo.com.my atau WhatsApp 011-11411952 selewat-lewatnya pada 25 Disember 2018 kerana hanya peserta berdaftar dibenarkan menyertai forum ini. Jumlah peserta/hadirin juga perlu diketahui untuk menyediakan minuman.

Penutup dan Harapan

Forum “Mendefinisi Semula Melayu” diharap membuka ruang untuk perbincangan secara terbuka mengenai beberapa topik yang mungkin dianggap terlalu sensitif selama ini. Forum ini tidak sesekali berniat menghina apa-apa perkara berkaitan “Melayu”, sebaliknya bertujuan meningkatkan pemahaman orang ramai. Forum ini pasti membawa manfaat kepada orang “Melayu” dan “Bukan Melayu”.