Friday, 28 August 2015

Program Membina Bakat Seni Kanak-kanak

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dengan kerjasama Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjalankan program membina bakat seni dan sastera dalam kalangan kanak-kanak pelbagai kaum.

Hasil perbincangan pada 28 Ogos 2015, keputusan diambil untuk mengenal pasti, melatih dan membina bakat kanak-kanak dalam bidang deklamasi sajak, menyanyi dan berlakon menggunakan Bahasa Malaysia. Cerita-cerita daripada buku Nari! Nari! (2015) akan diolah menjadi teks drama pendek (5-10 minit) untuk lakonan.

Kumpulan sasaran adalah kanak-kanak berumur 8-10 tahun. Sesi latihan akan diadakan di beberapa tempat sekitar Shah Alam, Klang, Puchong dan Petaling Jaya membabitkan kumpulan kanak-kanak yang berbeza.

Bagi memudahkan urusan logistik, sesi pengenalan mengenai Program Membina Bakat Seni Kavyan-DBP akan disasarkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sekitar empat kawasan yang dinyatakan di atas.

Selain daripada SJKT, mana-mana pihak yang berminat dipelawa menghubungi Kavyan untuk mengendalikan program yang sama. Misalnya, rumah anak-anak yatim dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sesi pengenalan akan diadakan pada Oktober dan November 2015. Susulan daripadanya, sesi latihan berterusan dijadualkan mulai Januari 2016. Kanak-kanak terbabit akan dibimbing dan dilatih oleh wakil Kavyan.

Latihan dijangka diadakan dua minggu sekali. Program ini boleh dijadikan salah satu aktiviti ko-kurikulum di bawah Persatuan Bahasa Malaysia di sekolah.

Dari semasa ke semasa, kanak-kanak terbabit akan diundang membuat persembahan (deklamasi sajak, menyanyi atau berlakon) sempena pelbagai acara anjuran Kavyan dan DBP di beberapa tempat.

Kanak-kanak terbabit juga bakal menerima imbuhan yang berpatutan serta sijil penghargaan bagi setiap acara Kavyan-DBP yang disertai.

Sila hubungi infokavyan@yahoo.com.my untuk maklumat lanjut dan untuk mengatur sesi pengenalan Program Membina Bakat Seni Kavyan-DBP pada Oktober/November 2015.

Layari www.kavyan.blogspot.com untuk maklumat lanjut berkaitan pelbagai aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan sastera anjuran Kavyan.