SHAH ALAM –
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang diasaskan pada bulan Ogos
1999 terus-menerus melaksanakan tanggungjawab memartabatkan bahasa kebangsaan
pada pelbagai peringkat di seluruh negara.
Selain aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya yang
disasarkan kepada masyarakat pelbagai kaum, pada tahun
2014, beberapa aktiviti disusun khas bagi murid di Sekolah
Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Kavyan menjayakan aktiviti ini dengan kerjasama Jabatan
Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Semua aktiviti
ini dianjurkan di bawah Program Memartabatkan Bahasa Malaysia di SJKT.
Pada 17 Oktober 2014, sejumlah 26 orang murid dan guru
menjayakan acara Baca Cerpen Siru Kambam di SJKT Sungai
Renggam. Para peserta mempersembahkan petikan daripada kumpulan cerpen Kisah dari Siru Kambam (2013).
Peserta dari SJKT berjaya membuktikan bahawa mereka juga
mampu menguasai serta membaca teks bahasa kebangsaan dengan fasih dan
lancar. Bagi tahun 2015, program yang sama akan dijalankan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
[Laporan
ini disiarkan di majalah Pelita Bahasa, Januari 2015]