24 Jan 2010

Laporan Baca Cerpen Kathakali

Tradisi membaca teks cerpen di pentas yang dimulakan oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) melalui aktiviti Baca Cerpen Kavyan pada tahun 2003 ternyata bukan sekadar untuk mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records.
.

Sebaliknya aktiviti “baca cerpen” dan “baca novel” sudah menjadi sinonim dengan Kavyan kerana acara berkenaan dianjurkan hampir setiap bulan.

.

Bagi tahun 2010, acara dimulakan dengan Baca Cerpen Kathakali di Perpustakaan Raja Tun Uda (PRTU), Persiaran Bandar Raya, Shah Alam pada 24 Januari.

.

Acara kali ini menyaksikan pembacaan petikan 15 buah cerpen dengan penuh gaya dan penghayatan oleh 15 peserta pelbagai kaum.

.

Petikan salah sebuah cerpen berjudul “Mengubah Alpa” diterjemahkan ke Bahasa Inggeris dan disampaikan oleh Shyamala Dhoraisingam Samuel, pensyarah kursus perakaunan di Universiti Monash, Subang Jaya. [Baca DI SINI]

.

Peserta lain terdiri daripada Arun Tharma Iswara, Amalia Hanis Busran, Muhamad Ridzuan Mustaffa, Mujiah Sayoothi, Ismail Mohammed Manshor, Suzliana Abdul Hamid, Nur Hawa Amira Ibrahim, Amal Hakim Busran, Hemantha Kumar Nagappan, Raja Bidah Raja Seman, Isnani Awang Mat Yassin, Ruhani Mohamed Sanusi dan Abdullah Majid.

.

Pengarang buku Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia (2009), Uthaya Sankar SB turut tampil membaca petikan salah sebuah cerpen yang dihasilkannya.

.

Sepanjang acara berlangsung, cabutan bertuah turut diadakan dengan menawarkan hadiah-hadiah berupa bahan bacaan seperti karya-karya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said dan Uthaya Sankar SB.

.

Kathakali: Kumpulan Cerpen Bahasa Malaysia memuatkan 16 cerpen yang sesuai bagi bacaan remaja dan sudah pernah tersiar dalam pelbagai media cetak arus perdana.

.

Buku berkenaan dilancarkan oleh Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Dato’ Raslin Abu Bakar pada 12 Julai 2009 dalam suatu majlis yang turut menyaksikan Prof. Madya Dr Lim Swee Tin menyampaikan ulasan mengenai cerpen-cerpen yang terkandung di dalam buku tersebut.

.

Kavyan akan meneruskan tradisi “baca cerpen” dan “baca novel” pada tahun 2010 dengan mengangkat karya-karya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Allahyarham Dr Othman Puteh, Ramlee Awang Murshid dan S.M. Zakir.

...

Sebanyak 68 foto yang dirakam semasa acara ini boleh dilihat di dalam album foto berlabel "Baca Cerpen Kathakali" di Facebook, manakala maklumat mutakhir aktiviti Kavyan boleh diikuti di www.kavyan.blogspot.com

No comments: